Home Politik PAS RESTU USTAZ WADI KELUAR PARTI JADI CALON PRK NENGGIRI, IBARAT KAKAK...

PAS RESTU USTAZ WADI KELUAR PARTI JADI CALON PRK NENGGIRI, IBARAT KAKAK TOLONG ADIK – TAKIYUDDIN

180
0

GUA MUSANG: PAS menegaskan tidak timbul sebarang isu pemilihan calon BERSATU, Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kerana hubungan kedua parti itu seperti adik dan kakak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pucuk pimpinan parti sendiri merestui Mohd Rizwadi keluar daripada parti untuk menyertai BERSATU dan bertanding pada PRK itu menggunakan logo PAS.

“Sekarang ini ramai pihak yang memainkan isu calon BERSATU adalah orang PAS. Apa yang saya boleh katakan, PAS dan BERSATU ibarat dua beradik dalam keluarga Perikatan Nasional (PN).

“PAS adalah kakak, manakala BERSATU adalah adik. Situasi yang berlaku apabila si adik (BERSATU) mempunyai ladang, kebun getah yang luas namun kekurangan anak lelaki menyebabkan dia meminta bantuan anak kakaknya (PAS).

“Manakala bagi pihak kakak (PAS), sudah tentu dia akan membantu apabila adiknya meminta pertolongan. Situasi inilah yang berlaku di PRK DUN Nenggiri dimana adik beradik saling tolong menolong dan ianya tidak perlu dijadikan isu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Bertam Lama, di sini, malam tadi. Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pihak tertentu sengaja memainkan isu calon memandangkan tiada isu lain yang boleh dibangkitkan.

“Kita pimpinan PAS sudah merestui Mohd Rizwadi atau Ustaz Wadi menyertai BERSATU dan menjadi calon di PRK Nenggiri memandangkan kami adalah adik beradik,” katanya.

Media semalam melaporkan, PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS pada 17 Ogos ini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada PAS yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Kedua-dua mereka diumum sebagai calon layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud, selepas selesai proses penamaan calon pada 10 pagi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here