Home Luar Negara AUSTRALIA NEGARA PERTAMA HARAMKAN PENJUALAN VAPE, KECUALI DI FARMASI

AUSTRALIA NEGARA PERTAMA HARAMKAN PENJUALAN VAPE, KECUALI DI FARMASI

152
0

SYDNEY: Vape diharamkan di Australia dan hanya boleh dibeli di farmasi, sebagai sebahagian daripada tindakan keras pertama di dunia yang berkuat kuasa semalam.

Ia turut merangkumi larangan penjualan ke atas kebanyakan perisa terutama yang diminati dalam kalangan golongan muda.

Tindakan itu dialu-alukan secara meluas oleh pakar kesihatan, di mana vape perlu dijual dalam pembungkusan dan warna biasa serta tidak boleh diiklankan atau dikilangkan secara tempatan.

Penjualan perisa juga dihadkan kepada tembakau, mentol dan pudina dalam usaha mengharamkan perisa ‘gula-gula getah’ yang sangat popular dalam kalangan pengguna lebih muda.

Langkah itu adalah tindakan lanjut Australia dalam usaha global membanteras rokok dengan menyukarkan pembelian vape, terutama apabila kebanyakan farmasi mengatakan mereka tidak mahu menjual vape di kaunter.

Ketika ini, penjualan vape di farmasi dilakukan kepada orang yang ditentukan oleh doktor sebagai sebahagian prosedur klinikal untuk berhenti merokok.

Menteri Kesihatan Australia, Mark Butler berkata, bermula 1 Julai vape adalah musuh kesihatan awam dan diharamkan.

Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana kedai serbaneka atau tembakau yang terus menjual vape, akan dikenakan denda sehingga AUD$2 juta (RM6.27 juta) dan hukuman penjara maksimum tujuh tahun

Beliau juga mengumumkan penubuhan jawatan kerajaan baru iaitu Pesuruhjaya Tembakau dan E-rokok Haram yang akan menyelia usaha membanteras jualan pasaran gelap dan pembekalan produk nikotin seperti vape dan rokok.

Butler berkata, vape adalah alat yang sengaja direka untuk merekrut generasi baharu supaya ketagih kepada nikotin.

Persatuan Farmasi Australia dan beberapa rangkaian farmasi utama mengkritik undang-undang baharu itu, dengan mengatakan mereka tidak mahu menjual produk berbahaya kepada pembeli yang tidak mempunyai surat doktor.

Naib Presiden Persatuan Farmasi Kebangsaan, Anthony Tassone berkata, ahli farmasi adalah profesional penjagaan kesihatan dan komuniti farmasi tidak mahu membekalkan produk yang mempunyai potensi berbahaya tanpa surat doktor.

“Apabila kita tidak mengetahui kesan jangka panjang vape terhadap keselamatan pesakit, bagaimanakah seorang ahli farmasi boleh membuat keputusan termaklum?

“Justeru, terpulang kepada farmasi individu sama ada mereka memilih untuk menjual vape kepada orang yang tidak mempunyai surat doktor,” katanya.

Pada 2012, Australia menjadi negara pertama di dunia memperkenalkan pembungkusan biasa untuk rokok dan amaran kesihatan bergambar yang mengerikan.

Langkah itu ditentang oleh industri tembakau, namun diterima pakai secara meluas pada peringkat antarabangsa.

Kerajaan juga mengenakan cukai yang tinggi dengan menaikkan harga satu kotak standard 25 batang rokok kepada kira-kira AUD$50 (RM157). – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here