Home Buletin Semasa KELANTAN CATAT 873 KES DENGGI, BIMBANG MAKIN MENINGKAT MENJELANG AIDILADHA

KELANTAN CATAT 873 KES DENGGI, BIMBANG MAKIN MENINGKAT MENJELANG AIDILADHA

146
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Sebanyak 873 kes denggi dilaporkan di Kelantan bermula Januari hingga 15 Mei ini dengan peningkatan sebanyak 31.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin, berkata kes terbabit didapati berlaku di daerah Kota Bharu dan Tumpat.

“Kita menjalankan usaha pencegahan untuk mengekang kes denggi selepas hari raya Aidilfitri dan menjangkakan akan berlaku trend peningkatan sekiranya tidak ambil langkah-langkah pencegahan pada Aidiladha ini.

“Kita lihat cuaca sekarang ini sangat berisiko kepada wabak denggi kerana berlaku hujan dan kemarau ditambah dengan kita berhadapan dengan cuti sekolah dan berlaku pergerakan keluar masuk orang ramai pada Aidiladha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penanaman Pokok Bakau di Pantai Melawi, Bachok sempena Kempen Penanaman 100 juta pokok di bawah tanggung jawab sosial korporat (CSR) Radicare (M) Sdn Bhd di sini, pada Isnin.

Dr Zaini berkata peningkatan kes denggi di Lembah Klang bukan hanya faktor kepulangan perantau semasa perayaan, tetapi ada juga kes tempatan yang terlibat.

Katanya tempat tumpuan awam perlu dijalankan aktiviti pencegahan bagi pembiakan Aedes terutama di mukim-mukim yang sering berlaku kenaikan kes pada Aidiladha sebagaimana situasi pernah berlaku pada tahun lepas.

“Kita memerlukan masyarakat yang mengambil cakna akan pembiakan wabak Aedes ini terutamanya di kawasan rumah untuk mengelakkan takungan air.

“Sekiranya mereka mempunyai tanda tanda penyakit denggi seperti demam, sakit, sakit sendi dan sakit mata, mereka dinasihatkan supaya mendapat rawatan sama ada di klinik kerajaan atau swasta,” katanya.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here