Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki yang memegang kad orang kurang upaya (OKU) menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 17 tahun lapan bulan di salah sebuah masjid di Jalan Langgar pada 15 Mac lepas.
Tertuduh Mohamad Hafiz Al-Hilal Maula Murad, 35 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Nik Habri Muhamad.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Farhan Abdul Halim.
Mengikut pertuduhan, pada 15 Mac lalu kira-kira 2.30 petang, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak berumur 17 tahun lapan bulan.
Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh
juga dihukum dengan hukuman sebat.
Terdahulu Siti Edabayu tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan kejadian tersebut menyebabkan mangsa trauma serta demi kepentingan awam kerana berlaku di masjid.
Bagaimanapun, Ahmad Farhan memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin yang rendah kerana lelaki itu mengalami masalah kurang upaya intelektual.
Menurutnya tertuduh mengalami simptom lambat membaca, mudah lupa, lurus bendul dan senang dipergunakan orang lain.
Tambahnya tertuduh juga adalah seorang pengganggur yang masih bujang dan turut menghidapi penyakit kencing manis kronik serta mendapat rawatan tiga kali seminggu selain rawatan testosteran, juga kakinya ada kesan hitam akibat penyakit kencing manis.
Ahmad Farhan juga memohon mahkamah mengurangkan jaminan yang dicadangkan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh memandangkan ibu angkatnya turut hadir ke mahkamah dan mahu membayar denda.
Mahkamah membenarkan jaminan kepada RM15,000 dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa.
Tarikh sebutan semula kes pada 23 Jun depan.
IMEDIKEL TV






