Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Satu memorandum perjanjian (MoA) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM) dimeterai bagi membolehkan lebih ramai pesakit jantung kanak-kanak dibantu untuk menerima rawatan di Hospital USM.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata MoA itu adalah untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah jantung dari bayi.

“Tujuannya adalah untuk membantu anak-anak yang sejak lahir mempunyai masalah jantung. Mereka ini perlu mendapatkan rawatan secara pembedahan atau sebaliknya dan memerlukan kos.
“Hospital USM mempunya kepakaran, alatan dan dewan bedah. Dan setiap tahun Hospital USM melakukan pembedahan kepada 50 hingga 60 pesakit yang meliputi kawasan Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media Majlis Menandantangani Memorondum Perjanjian (MoA) Antara Universiti Sains Malaysia (USM) Dan Yayasan Jantung Kongenital Malaysia (YJKM).
Hadir sama Pengarah Hospital USM, Datuk Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif YJKM, Tan Chin Zhia.
Menurutnya melalui perjanjian itu, YJKM bersetuju menampung kos rawatan hospital sehingga RM3,000 bagi setiap pesakit yang memerlukan.
“YJKM akan memberi bantuan kewangan kepada pesakit yang ditentukan oleh mereka.
“Bantuan kewangan ini adalah sehingga RM3,000 bagi setiap pesakit yang akan meringankan beban pesakit,”katanya.

Beliau berkata kerjasama yang berkuat kuasa selama setahun itu secara signifikannya dapat membantu dalam merawat pesakit jantung dalam kalangan kanak-kanak dan secara tidak langsung membantu dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit serta keluarga.
Tambahnya, Hospital USM bukan sahaja merawat pesakit dari negeri Kelantan, tetapi juga menerima sejumlah pesakit dari Terengganu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YJKM, Tan Chin Zhia, berkata MoA tersebut bermula sejak 2020 dan USM adalah pusat ketiga YJKM untuk berkolaborasi.
“MOU pertama adalah antara Institut Jantung Negara (IJN) iaitu dari tahun 2020. Yang kedua kita buat dengan Pantai Hospital, Kuala Lumpur, yang ketiga kita berkolaborasi dengan HUSM.
“Berdasarkan niat kita untuk membantu pesakit-pesakit dari Pantai Timur,”katanya.
Katanya selain itu YJKM juga sudah menyumbangkan sebanyak RM500,000 untuk keperluan peralatan di seluruh negara dan membantu mereka yang mempunyai masalah jantung.
Di Kelantan, kadar kelahiran hampir 35,000 orang setahun dan dianggarkan kira-kira 250
hingga 300 bayi dilahirkan mempunyai masalah jantung konginetal dan hampir satu per tiga daripada mereka memerlukan rawatan awal sama ada secara pembedahan atau tanpa pembedahan.
Imedkel TV






