BERLIN: Polis Jerman pada Ahad menahan tiga lagi suspek didakwa berkomplot untuk menyerang Gereja Cologne yang terkenal di Jerman pada Malam Tahun Baharu 2024, kata pihak berkuasa.
Penyerang didakwa merancang untuk menggunakan kereta bagi menyerang bangunan Gothic berusia 800 tahun di tepi sungai Rhine itu, kata Pengarah Polis Cologne, Frank Wissbaum, pada sidang akhbar.
Beliau berkata, kaedah serangan yang dirancang tidak jelas tetapi tempat letak kereta bawah tanah di bawah gereja digeledah anjing pengesan bahan letupan selama semalaman.
“Ketiga-tiga individu itu kini selamat dalam tahanan dan kami gembira kerana mereka tidak lagi dapat berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya.
Wissbaum berkata, penyiasat menemui bukti pada lewat Sabtu, yang mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan seorang lelaki Tajik berusia 30 tahun, yang didakwa mempunyai kaitan dengan militan Daesh dan ditahan sejak 24 Disember lalu.
Pihak berkuasa Persekutuan sedang meneruskan penyiasatan mereka terhadap apa yang dipanggil sebagai ‘rangkaian individu’ dari Asia Tengah, yang ada kaitan dengan beberapa negeri di Jerman dan negara Eropah.
Tiada perincian diberikan mengenai identiti atau latar belakang individu yang kini ditahan.
Polis berkata, suspek ditahan di bandar barat Duisburg, Herne dan Noervenich, dan alat komunikasi dirampas ketika menggeledah pangsapuri mereka.
Keselamatan dipertingkat di dalam dan sekitar gereja menjelang Malam Tahun Baharu. Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak bimbang jika mereka melihat pegawai membawa senjata api dan perisai badan.
Ribuan polis tambahan juga sedang berkawal di Berlin, di mana perayaan tahun lalu dibayangi pertempuran ganas, dengan pengunjung mengerumuni responden pertama yang cuba merawat mereka yang cedera.
Polis di ibu negara juga berjaga-jaga selepas demonstrasi solidariti pro Palestin yang dijadualkan pada tengah malam diharamkan.
Ramai orang Islam di Jerman tidak berpuas hati dengan sokongan yang ditunjukkan untuk Tel Aviv dalam perangnya menentang Hamas. – REUTERS, BH Online –
IMEDIKEL TV






