LONDON: Hugo Lloris berkata dia akan menjadi peminat setia Tottenham sepanjang hayat ketika dia mengucapkan selamat tinggal kepada peminat Spurs semalam selepas beraksi selama 11 tahun di London utara.
Bekas kapten Perancis itu menuju ke Los Angeles FC dalam Major League Soccer selepas kehilangan tempatnya sebagai penjaga gol nombor satu Spurs musim ini.
Lloris, yang melakukan 447 penampilan buat kelab itu, dianugerahkan satu trofi oleh bekas pertahanan Spurs, Ledley King di padang ketika rehat aksi pertemuan dengan Bournemouth lewat malam tadi.
“Ia ucapan selamat tinggal, tetapi ia ucapan selamat tinggal daripada seorang pemain, bukannya daripada seorang lelaki. Saya akan menjadi penyokong Spurs hingga ke akhir hayat,” kata Lloris ketika dia berucap kepada penyokong tuan rumah.
Tottenham mengesahkan Sabtu lalu kontrak Lloris ditamatkan untuk membolehkannya berpindah secara percuma ke California.
Lloris membantu Spurs layak ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama pada tahun 2019, namun dia gagal memenangi sebarang trofi utama sepanjang beraksi di kelab itu. – AFP






