Home Buletin Semasa DUA LELAKI DISELAMATKAN BOMBA, TERPERANGKAP ATAS POKOK SEMASA BANJIR

DUA LELAKI DISELAMATKAN BOMBA, TERPERANGKAP ATAS POKOK SEMASA BANJIR

Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV

GUA MUSANG: Dua lelaki daripada antara empat mangsa banjir yang berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba selepas terperangkap di atas pokok dalam sebuah kebun sayur di Sungai Brooke dekat Pos Blau, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, mangsa berkenaan adalah dua warga Myanmar dan dua lagi lelaki tempatan berusia dalam lingkungan antara 20-an hingga 60-an.

“Mereka terperangkap lebih empat jam di atas pokok apabila tempat tinggal di dalam kebun sayur hanyut dibawa arus deras sungai.

“Kesemua mangsa melarikan diri ke stor baja sebelum terpaksa memanjat pokok tersebut untuk menyelamatkan diri kira-kira jam 5 pagi dan terus menghubungi majikan mereka berhubung kejadian tersebut.

“Seramai lapan anggota bergegas menaiki tiga kenderaan pacuan empat roda (4X4) ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.30 pagi dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan pada 9.30 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya sebuah bot penyelamat turut digunakan untuk meredah arus sungai dalam usaha membawa mangsa turun dari atas pokok ke tempat yang selamat.

Beliau berkata kejadian awal pagi itu berlaku di kawasan sebuah kebun sayur berhampiran lokasi jalan Lojing-Pos Blau-Kuala Betis yang terputus hubungan baru-baru ini apabila dinaiki air sedalam lebih dua meter dan sejauh 150 meter.

I Medikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here