KUALA LUMPUR: Seramai 12 pemain daripada Liga M3 terpilih bagi menjalani latihan selama seminggu bersama pasukan Liga Perdana Inggeris, Wolverhampton Wanderers FC (Wolves) di England menerusi program ‘Dare to Dream’.
Liga Bolasepak Amatur (AFL) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan 12 pemain itu antara lain melibatkan dua pemain pasukan UiTM United yang muncul juara Piala Al Ikhsan 2023 setelah dipilih secara merit pada sesi pemilihan anjuran MBSB Bank dan badan induk bola sepak itu minggu lepas.
Program ‘Dare to Dream’ merupakan kesinambungan kepada saingan Liga M3 yang kini dikenali sebagai Liga Kejuaraan MBSB Bank, dan kumpulan pemain berkenaan dijangka berlepas ke England sama ada pada penghujung Januari atau awal Februari depan.
Menurut kenyataan menerusi berita harian,sesi pemilihan dikendalikan Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt, jurulatih bola sepak dan pendidikan Ryan Griffiths serta jurulatih pembangunan bola sepak pasukan itu Cody Harper.
“Pada sesi pemilihan berkenaan, pemain dikehendaki melepasi enam ujian (halangan) ditetapkan meliputi segala aspek bola sepak termasuk kepantasan, ketangkasan, kemahiran teknik serta simulasi perlawanan sebenar,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AFL Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berharap 12 pemain dipilih dapat memanfaatkan peluang diberi selain menjadikan nilai tambah dałam perjalanan karier masing-masing sebagai pemain bola sepak.
“Inilah usaha ingin ditonjolkan dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dan terpendam dalam lingkaran atau rantaian bola sepak tempatan dan tidak keterlaluan jika saya katakan pada masa akan datang pemain yang dipilih ini akan menggalas cabaran pasukan-pasukan kelab mahupun kebangsaan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Datuk Nor Azam M Taib pula berkata pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan AFL dan Wolverhampton Wanderes FC melalui kolaborasi itu dalam memilih pemain yang akan menjalani latihan di Compton Park Training Ground.
“Kami yakin pendekatan ini akan dapat membantu mengetengahkan bakat-bakat muda dan akar umbi bola sepak untuk lebih berjaya dan mempunyai anjakan paradigma ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Berikut adalah senarai pemain yang akan menjalani latihan bersama Wolves.
Muhammad Ikmal Mohd Idris (KL Rovers) Penyerang
Muhamad Rafie Mat Yaacob (KL Rovers) Penyerang
Muhamad Rafie Kamaruzzaman (Imigresen FC) Pertahanan
Muhammad Hazim Abu Zaid (Imigresen FC) Pemain Tengah
Izzat Abd Rahim (PIB Shah Alam FC) Penjaga Gol
Shahrul Igwan Samsudin (PIB Shah Alam FC) Pertahanan
Muhamad Aizat Safuan Razali (Manjung City FC) Pemain Tengah
Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi (Manjung City FC) Pertahanan
Muhammad Darwisy Abdullah (Malaysian University) Pemain Tengah
Muhammad Fathullah Fazilisham (Naga Ultimate KS FC) Pemain Tengah
Pengiran Mohamad Ilham (UiTM United) Pertahanan
Zikry Mohd Hafis (UiTM United) Pemain Tengah






