Home Buletin Semasa KERAJAAN NEGERI SEDIA BERTEMU NRECC BINCANG KSAS

KERAJAAN NEGERI SEDIA BERTEMU NRECC BINCANG KSAS

297
0

Oleh: Afrizam Arif, Wartawan Imedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan negeri bersedia mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bagi membincangkan mengenai isu pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri mengharapkan agar isu pengubahsuaian KSAS
dapat dijelaskan kepada semua pihak.

“Ada yang beranggapan seolah-olah perkara itu sudah berlaku, sedangkan ia masih di peringkat kajian.

“Sebelum ini, kita sudah memberikan maklumat terperinci secara berdokumen bagi menjelaskannya dan saya rasa maklumat yang diberikan itu sudah mencukupi.

“Bagaimanapun, saya nampak ada silap faham. Kita bukan membatalkan hutan simpan dan hutan kekal. Itu tidak benar dan perlu bezakan antara hutan simpan dan juga hutan kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberitan ketika ditemui selepas Malam Mahabbah Media Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan 2023 yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam pada itu, media semalam turut melaporkan, NRECC akan mengadakan mesyuarat bersama pihak berkepentingan dalam tempoh dua minggu lagi untuk membincangkan dan meneliti secara menyeluruh mengenai cadangan pengubahsuaian KSAS di Kelantan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata mesyuarat yang dijadual diadakan di Putrajaya itu membabitkan Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam sekitar dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Taman Negara dan penasihat Undang-Undang yang ada di NRECC serta kerajaan Kelantan.

Terdahulu, pada 1 November lalu, kerajaan Kelantan menjelaskan cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan KSAS hanya membabitkan 514,898 hektar.

Mohamed Fadzli Hassan berkata, pengubahsuaian itu tidak akan menjejaskan dasar Kerajaan Persekutuan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan.

Katanya Kelantan masih mengekalkan keluasan HSK seluas 629,880 hektar dan hanya mengeluarkannya daripada kawasan yang ditakrifkan KSAS seluas 514,898 hektar.

IMEDIKEL TV


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here