Home Buletin Semasa 40 WANITA DISELAMAT, SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA TUMPAS

40 WANITA DISELAMAT, SINDIKET PEMERDAGANGAN MANUSIA TUMPAS

372
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia selepas menyelamatkan 40 wanita warga Indonesia dalam satu siri serbuan di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya, Selangor, pada Khamis lalu.

Serbuan hasil risikan dan maklumat awam itu turut membawa kepada penahanan empat individu, termasuk dalang utama sindiket yang disyaki menjalankan kegiatan haram berkenaan di sebalik operasi sebuah agensi pekerjaan asing.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata suspek yang ditahan terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga warga Indonesia (seorang wanita dan dua lelaki) berumur antara 28 hingga 50 tahun.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia antara 21 hingga 51 tahun dan sudah berada di Malaysia antara satu hingga tujuh tahun.

“Dalam operasi tersebut, JIM turut menyita 12 pasport Indonesia bukan milik mangsa yang diselamatkan dan dipercayai milik warga asing lain yang pernah diuruskan sindiket dan disita bagi tujuan pengesanan serta siasatan lanjut..

“Sindiket disyaki menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan termasuk menguruskan Pas kerja yang sah serta menjanjikan gaji yang tinggi.

“Namun sebaik tiba di Malaysia, mangsa ditempatkan di rumah-rumah yang disediakan sindiket dan diarahkan bekerja sebagai pembantu rumah harian atau pekerja pembersihan tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah termasuk tidak menerima gaji yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati beberapa mangsa memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atas nama majikan tertentu, namun sebenarnya tidak bekerja dengan majikan berkenaan.

“Tindakan ini dipercayai dilakukan oleh agensi pekerjaan asing yang bersekongkol dengan majikan tertentu. JIM tidak menolak kemungkinan terdapat majikan yang bekerjasama dengan agensi tersebut bagi tujuan memohon pembantu rumah atas nama mereka sebagai balasan atau untuk mengaut keuntungan.

“Sindiket berkenaan turut mengawal pergerakan mangsa dengan menghantar dan mengambil mereka dari tempat kerja, selain tidak membayar gaji yang dijanjikan serta menyimpan pasport mangsa bagi menghalang sebarang percubaan melarikan diri,”katanya.

Jelasnya kesemua suspek kini ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), manakala semua mangsa diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan ditempatkan di Rumah Perlindungan.

“Operasi khas itu dijalankan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM, dengan pendekatan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi mengenal pasti mangsa,”katanya.

Beliau menegaskan, JIM akan terus memperhebat usaha membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang bersekongkol.

“Mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan di bawah Akta ATIPSOM boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun, selain boleh dikenakan hukuman sebat bagi kesalahan berat,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan pemerdagangan orang atau penyeludupan migran kepada JIM di talian 03-8880 1471 atau melalui e-mel urusetia_p@imi.gov.my.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here