Home Luar Negara 4 MAUT SELEPAS TERJATUH DALAM LUBANG PEMBETUNG

4 MAUT SELEPAS TERJATUH DALAM LUBANG PEMBETUNG

TOKYO: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian empat pekerja maut selepas terjatuh dalam lubang pembetung ketika melakukan pemeriksaan ke atas paip pembetungan di bandar Gyoda, utara Tokyo, semalam.

Menurut pihak berkuasa hari ini, insiden itu diketahui susulan pemeriksaan menyeluruh sistem pembetungan di seluruh Jepun yang dilancarkan awal tahun ini, selepas kejadian mendapan besar menelan sebuah lori di pinggir Tokyo pada Januari lalu akibat paip yang berkarat.

Semua mangsa lelaki berusia lingkungan 50an itu sedang menjalankan pemeriksaan apabila salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam lubang pembetung, sebelum tiga lagi rakan sekerja yang cuba menyelamatkannya turut terjatuh, kata Jabatan Bomba tempatan kepada AFP.

Pasukan penyelamat mengesan kehadiran gas hidrogen sulfida, sejenis bahan toksik berbahaya dalam kepekatan tinggi keluar dari lubang berkenaan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bandar enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar kejadian.

“Keadaan sebenar yang membawa kepada kemalangan ini masih belum dikenal pasti, jadi terlalu awal untuk kami menyatakan sebarang tanggungjawab,” kata seorang pegawai bandar Gyoda yang enggan dikenali.

Keempat mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia, menurut laporan media tempatan.

Difahamkan, seramai 10 pekerja berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan, termasuk membersihkan paip daripada air buangan dan enapan sekiranya perlu.

Pada Mei lalu, pasukan penyelamat Jepun menemui mayat pemandu lori berusia 74 tahun yang terkorban selepas jalan runtuh di bandar Yashio menelannya beberapa bulan sebelum itu. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here