Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan membabitkan 27,017 calon berjalan lancar termasuk di dua pusat peperiksaan yang dilanda banjir.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Diniah dan SMUA Al-Falah di Rantau Panjang.

“Sehingga pagi ini dua sekolah yang terbabit dengan SPM masih digenangi air pada paras 0.3 meter, bagaimanapun paras air semakin menurun.
“Seramai 83 calon menduduki SPM di dua pusat terbabit dan mereka tidak dipindahkan. Secara keseluruhan tiada masalah dari segi pengurusan dan juga calon SPM di pusat peperiksaan lain,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra bersama 189 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Pasir Mas, di sini, hari ini.

Jelasnya kesemua calon di negeri ini yang menduduki peperiksaan SPM kali ini membabitkan 284 pusat peperiksaan.
Beliau berkata pihaknya juga menyediakan 12 pusat di hospital dan dua pusat tahanan sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap calon sepanjang tempoh peperiksaan dijalankan.
IMedikel TV






