Home Buletin Semasa SINDIKET SELUDUP MIGRAN DI KOTA BHARU TERBONGKAR, DUA WARGA TEMPATAN DITAHAN

SINDIKET SELUDUP MIGRAN DI KOTA BHARU TERBONGKAR, DUA WARGA TEMPATAN DITAHAN

33
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan berjaya membongkar kegiatan sindiket penyeludupan migran dalam satu operasi penguatkuasaan dikenali sebagai OPS SERKAP yang dijalankan di sekitar Kota Bharu pada Ahad dan semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, dalam operasi berkenaan, seramai lima Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta dua lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan yang dilaksanakan sekitar jam 12 tengah malam dengan kekuatan 19 pegawai penguat kuasa pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan.

“Operasi yang dijalankan di Kampung Raja Seksyen Dua, Kota Bharu itu berjaya menahan dua lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Siasatan awal mendapati kumpulan PATI berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pengkalan haram di Sungai Golok, sebelum menaiki bot ke jeti Gok Kapur di Sungai Kelantan bagi mengaburi pihak berkuasa, seterusnya dibawa ke sebuah lokasi transit di Kampung Raja Seksyen Dua,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata cubaan sindiket tersebut gagal selepas pergerakan mereka berjaya dikesan hasil intipan dan risikan pegawai imigresen.

“Kesemua PATI terbabit kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya. 

Dalam operasi sama, JIM Kelantan turut menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai pengangkut dalam rangkaian penyeludupan migran berkenaan.

“Kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 bagi siasatan lanjut untuk mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat,”katanya.

Nik Akhtarulhaq berkata, penahanan dua warga tempatan itu menjadi isyarat jelas bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, khususnya rakyat tempatan yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan melindungi atau menyeludup PATI.

Dalam pada itu, orang ramai digesa supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat dalam melindungi PATI,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here