Home Hiburan REMY SELESA UNDUR DIRI DARI MEDIA SOSIAL DEMI KESTABILAN JIWA

REMY SELESA UNDUR DIRI DARI MEDIA SOSIAL DEMI KESTABILAN JIWA

40
0

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Datuk Remy Ishak, 43, mengakui semakin selesa menjauhkan diri daripada media sosial demi menjaga kesihatan mental serta mengelakkan dirinya terus terperangkap dalam perdebatan yang semakin toksik di platform berkenaan.

Memetik laporan Berita Harian, Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkata, pelbagai isu yang tular dan perkongsian warganet masa kini mampu mempengaruhi kestabilan emosi, terutama bagi figura awam sepertinya.

“Saya memang nak ‘isolate’ diri. Saya tak mahu terlalu aktif di media sosial kerana saya percaya kesihatan mental perlu dijaga.

“Sebagai ‘public figure’, bila kita nampak sesuatu yang tidak tepat, memang kita tergerak hati nak bersuara. Tapi bila bercakap pun, bukan semua orang akan setuju dan akhirnya ia beri tekanan kepada diri sendiri,” katanya ditemui pada sidang media drama Sumpah Ibuku, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Mengakui pernah terbabas membalas beberapa isu tular menyentuh topik buli dan penceraian, Remy berkata tindakan spontan itu hanya membuatkan dirinya menyesal.

“Ada satu hari saya tak boleh tahan, saya balas juga.

“Lepas itu saya sedar tindakan begitu tak bawa kebaikan. Sejak itu, saya nekad untuk jauhkan diri daripada media sosial kecuali untuk tujuan kerja dan promosi naskhah lakonan,” katanya.

Berkongsi cara menguruskan tekanan, Remy mendedahkan amalan mandi garam menjadi antara terapi yang banyak membantunya menyingkirkan aura negatif, terutama selepas berdepan episod kemurungan ketika pandemik COVID-19.

“Kita bercakap pasal penyakit ain. Bila kita banyak terdedah kepada umum, perkara itu memang terjadi.

“Secara saintifik pun, kalau badan ada banyak ion negatif, mineral garam memang membantu. Bila rasa tertekan, emosi tak stabil, mandi garam memang sangat membantu saya,” katanya.

Jelas Remy, amalan itu diperkenalkan oleh pakar psikologi yang merawatnya ketika beliau mengalami kemurungan beberapa tahun lalu.

Remy kini tampil dengan drama Sumpah Ibuku yang bersiaran di slot Akasia TV3, dibarisi Izara Aishah, Liza Abdullah, Zara Zya, Syad Mutalib dan Syazwan Zulkifly. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here