Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
Isu remaja melakukan aksi berbahaya di atas jalanraya sememangnya tidak pernah berkesudahan sebaliknya semakin teruk.
Tular lapan remaja lelaki ditahan dalam OPS Samseng Jalanan kerana melakukan aksi ‘fly’ ketika konvoi di Kuala Lumpur.
Oleh kerana terlalu seronok mereka tidak endah akan risiko yang bakal terjadi.
Salah seorang remaja tersebut merupakan pelajar asrama yang telah keluar dari rumah dengan pengetahuan abangnya sahaja.
Menjadi persoalan, bagaimana cara untuk membendung sikap remaja yang berani melakukan aktiviti yang membahakan nyawanya bahkan orang lain juga.
Wartawan Imedikel TV bertanyakan pendapat dan komen daripada orang ramai berkenaan isu tersebut.
Amir Mustaqim Hasan, 25, dari Dungun, Terengganu, berpendapat pihak berkuasa perlu memperbanyakkan lagi jadual operasi di seluruh tempat seperti Ops Samseng atau lain-lain operasi bagi mengetatkan kawalan trafik atau pergerakan di jalanraya.

“Pihak Berkuasa mahupun kerajaan juga perlu mengambil inisiatif yang jitu dengan menyediakan lebih banyak litar permotoran bagi mengatasi masalah penyalahgunaan motor dan kenderaan bagi dunia perlumbaan atau permotoran yang dibenarkan seperti di Litar Permotoran Terengganu.
“Selain itu, pihak ibu bapa juga perlu menitikberatkan terhadap anak-anak dalam penyalahgunaan kenderaan bagi yang tiada lesen memandu atau bawah umur bagi kategori lesen memandu dengan melarang penggunaan kenderaan pada waktu malam atau di luar waktu pemantauan ibubapa. Ini kerana pemantauan daripada ibubapa sangat memberi kesan positif bagi mengatasi masalah seperti ini bagi anak-anak bawah jagaan ibubapa,” katanya ketika dihubungi Imedikel bagi mengulas isu berkenaan.
Nurul Nadiah Saharuddin, 24, dari Sungai Buloh, Selangor berkata isu sebegini memang tidak asing lagi di Malaysia.

“Remaja-remaja yang terlibat dengan kes ini memang perlu diambil tindakan yang sepatutnya agar mereka tidak lagi berani dan tidak berkeinginan lagi untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bukan sahaja membahayakan diri mereka, malah pengguna jalanraya yang lain.
“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti anak-anak mereka dan juga dengan siapa mereka berkawan, hal ini penting kerana di usia remaja, golongan ini senang dipengaruhi oleh rakan-rakan sebaya. Oleh itu, pelimihan rakan amatlah penting kerana itu juga merupakan antara faktor-faktor yang membentuk akhlak remaja masa kini,”katanya.
Syazwani Alyaa Abdullah, 24, dari Pulau Pinang berpendapat ibu bapa memainkan peranan penting dalam situasi ini agar mereka mengetahui setiap pergerakkan anak-anak terutama remaja di bawah umur.

“Remaja sekarang mudah terpengaruh dengan persekitaran dan hanya memikirkan keseronokan tanpa memikirkan kemudharatan seterusnya.
“Sebagai seorang abang kepada remaja itu, dia tidak sepatutnya membenarkan adik yang bawah umur keluar pada waktu-waktu seperti itu kerana banyak kemungkinan yang boleh berlaku. Sebagai seorang perlu memberi nasihat dan pantau pergerakan adiknya,” katanya.
Walaubagaimanapun pihak berkuasa patut mengenakan tindakan lebih tegas kepada mereka yang terlibat bagi memberi kesedaran terhadap tindakan penyalahgunaan kenderaan di jalanraya.
Imedikel TV






