Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Ramai individu menganggap mereka sudah lama tidak bermimpi, namun hakikatnya otak manusia tetap menghasilkan mimpi setiap malam, menurut Public Health Malaysia (PHM).
Dalam satu perkongsian kesihatan, PHM menjelaskan bahawa mimpi berlaku ketika fasa tidur Rapid Eye Movement (REM), iaitu waktu otak sedang aktif menyusun memori manakala tubuh berada dalam keadaan rehat sepenuhnya.
“Setiap orang sebenarnya bermimpi setiap malam. Cuma tidak semua sempat mengingatinya,” menurut kenyataan itu.
PHM menjelaskan, seseorang hanya mudah mengingati mimpi jika terjaga tepat selepas melalui fasa REM. Sekiranya tidur terlalu lena atau kembali tidur tanpa sedar, memori mimpi akan hilang serta-merta.
Selain itu, beberapa faktor lain seperti tekanan, pengambilan ubat tertentu atau kitaran tidur yang tidak stabil juga boleh menyebabkan seseorang merasakan seolah-olah mereka tidak lagi bermimpi.
“Hakikatnya, otak tetap bekerja. Cuma kita tak sedar,” kata PHM.
Menurut kenyataan itu lagi, jika seseorang tidur dengan nyenyak dan berasa seperti langsung tidak bermimpi, ia mungkin petanda otak sedang mendapat rehat yang baik.
“Mimpi itu masih ada, cuma ia berada di sudut ingatan yang tidak dapat dicapai,” jelas PHM.
Jadi kita perlu mengekalkan rutin tidur yang sihat, mengurus tekanan dan mengelakkan penggunaan gajet sebelum tidur bagi memastikan kualiti tidur yang lebih baik.
IMedikel TV






