Home Buletin Semasa POLIS TANAH MERAH SAHKAN WARGA EMAS HILANG DALAM SUNGAI DITEMUI MAUT

POLIS TANAH MERAH SAHKAN WARGA EMAS HILANG DALAM SUNGAI DITEMUI MAUT

48
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Polis Tanah Merah mengesahkan wanita warga emas yang hilang selepas sebuah kenderaan terjatuh ke dalam parit di Batu 5, Lebuhraya Machang–Jeli, di sini, sudah ditemui pada jam 7.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, mangsa ditemukan orang awam pada jarak kira-kira 120 meter dari lokasi kemalangan.

Menurutnya, kejadian tersebut melibatkan dua wanita.

“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk proses bedah siasat, manakala seorang lagi mangsa, Sharmila Ahmad Basyaruddin, 48, dilaporkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Haki menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL), terutamanya ketika memandu di jalan raya serta melalui kawasan berisiko banjir.

“Elakkan melalui kawasan mudah dinaiki air atau sungai berarus deras, dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca serta amaran pihak berkuasa sebelum keluar rumah.

“Periksa keadaan kenderaan termasuk brek, lampu dan tayar sebelum memandu dalam keadaan hujan lebat. Kurangkan kelajuan dan pastikan jarak selamat antara kenderaan bagi mengelakkan kemalangan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu dalam usaha mencari mangsa terlibat.

Jika menyaksikan kejadian berbahaya atau individu yang memerlukan bantuan, orang ramai diminta segera menghubungi pihak berkuasa.

“Polis akan terus memantau situasi dan menasihatkan masyarakat supaya mengutamakan keselamatan diri serta keluarga,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here