KOTA BHARU: Walaupun terdapat beberapa program dalam masa sama, tetapi tidak menghalang sambutan Karnival Lebaran 2024 yang bertempat di perkarangan AEON Mall, di sini, pada Jumaat.
Menurut Pengurus Wilayah Timur AEON Credit Service Malaysia Berhad, Hasma Maizan, para peserta Gateh Lebaran 2024 tetap bersemangat dalam menyokong program itu.
“Walaupun ada halangan tetapi tidak menghalang peserta untuk menyertai program ini.
“Sebenarnya kalau kita ikutkan faktor cuaca dan faktor acara-acara tempatan, saya rasa pencapaian hari ini dan selama tiga hari kami berada di sini amat membanggakan,”katanya.
Hasma berkata program itu adalah kolaborasi kali pertama daripada pihaknya.
“Ini merupakan kali pertama kami berkolaborasi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan dan AEON Mall dan saya nampak pencapaian yang agak membanggakan dengan penyertaan peserta untuk Larian Lebaran, Gateh Lebaran dan penambahan KB Bike.
“Kalau tiada halangan kami akan memperbaiki kekurangan untuk program kali pertama ini, insyaAllah kalau ada rezeki kita akan buat program yang sama tahun hadapan dan cuba untuk jadikan ia sebagai acara tahunan kolaborasi antara JBS, I Medikel Pharma Holdings dan AEON Mall,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta Ahmad Rasidi, 46, dari Melaka datang ke Kelantan semata-mata untuk menyokong program tersebut.
“Saya datang dari Melaka untuk menyokong program Karnival Lebaran di mana dua hari lepas saya menyertai Larian Lebaran dan hari ni Gateh Lebaran,”katanya.
Ahmad Rasidi berkata program seperti ini perlu diadakan bagi mendorong mereka meningkatkan kesihatan sekaligus dapat mengertakan silaturahim.
“Pertama kita kena ada minat, itu penting. Satu lagi untuk kesihatan kita juga. Dan kita boleh jumpa kawan-kawan yang baru,”katanya.
Gateh Lebaran 2024 adalah kesinambungan daripada Gateh Lebaran 2023 anjuran I Medikel Pharma Holdings (IMPHB), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan, AEON Mall dan Group Gateh Amal (GGA).