DOHA: Max Verstappen memburu hatrik kemenangan pada Grand Prix (GP) Qatar hujung minggu ini ketika perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini memasuki fasa paling getir.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dia adalah pemenang perlumbaan di Qatar pada edisi 2023 dan tahun lalu.
Namun juara dunia tiga kali itu sedar walaupun tuah memihak kepadanya, jurang 24 mata yang memisahkannya dengan pendahulu, Lando Norris dari McLaren, sukar untuk di atasi menjelang dua perlumbaan terakhir di Qatar dan Abu Dhabi.
Walaupun menerima hukuman bersama rakan sepasukan McLaren yang juga pencabar kejuaraan, Oscar Piastri, selepas menamatkan saingan di tempat kedua pada GP Las Vegas Ahad lalu, Norris tetap tiba di Qatar sebagai pilihan utama untuk meraih gelaran dunia pertamanya.
Ia sekali gus bakal menghadiahkan McLaren kejuaraan berganda pertama sejak kejayaan Mika Hakkinen pada 1998.
Pelumba Britain berusia 26 tahun itu mengumpul 390 mata dan hanya perlu mengekalkan ketenangan serta mengatasi dua pencabarnya itu.
Hanya Norris berpeluang untuk memuktamadkan gelaran dunia hujung minggu ini ketika musim memasuki detik paling getir.
Dengan kelebihan mata yang selesa, Norris mempunyai tugasan paling mudah dan risiko paling rendah ketika mereka turun berentap dalam perlumbaan pecut pada Sabtu dan Grand Prix di bawah limpahan lampu pada Ahad.
Verstappen berjaya merapatkan jurang 104 mata di belakang Piastri sejak awal September lalu hasil prestasi luar biasa yang membuatkan penyokong McLaren semakin gusar.
Bos pasukan McLaren, Andrea Stella kekal menegaskan bahawa pasukan itu akan menyokong Norris dan Piastri secara sama rata sehingga salah seorang tersingkir secara matematik dalam perebutan gelaran.
“Kami tidak akan menutup pintu selagi secara perkiraan matematik belum berakhir,” katanya awal musim ini, menolak sebarang kemungkinan arahan pasukan memihak kepada Piastri atau Norris. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






