DALLAS: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni mengesahkan Lionel Messi tidak akan disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika juara bertahan itu menentang Jordan dalam aksi terakhir Kumpulan J Piala Dunia di Stadium Dallas, esok.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Bintang Inter Miami itu sudah menjaringkan kesemua lima gol Argentina dalam kemenangan ke atas Algeria dan Austria, sekali gus memastikan mereka mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati dengan baki satu perlawanan.
“Leo akan bermula di bangku simpanan,” kata Scaloni ketika menjawab soalan wartawan radio veteran Argentina berusia 91 tahun, Enrique Macaya Marquez, yang membuat liputan Piala Dunia buat kali ke-18.
“Saya menjawab kerana anda layak menerima jawapan yang jujur. Leo akan masuk sedikit lewat,” tambah Scaloni.
Argentina sudah pun mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan, namun Scaloni menolak dakwaan beliau menurunkan pasukan lemah kerana memikirkan cabaran di pusingan kalah mati.
“Pemain yang akan beraksi esok memang layak bermain, mereka sebahagian daripada pasukan ini.
“Segala usaha yang kami lakukan dalam latihan adalah kerana mereka, sebab itulah kami berada di sini. Mereka sentiasa memberikan komitmen walaupun tidak diturunkan.
“Saya mahu semua pemain mendapat minit permainan apabila ada peluang kerana mereka juga pemain yang hebat.
“Impian saya sebagai jurulatih ialah melihat pasukan mampu mengekalkan prestasi tanpa mengira siapa yang diturunkan.
“Apabila anda menyarung jersi kebangsaan, tidak kira sama ada perlawanan itu penting atau tidak, anda tetap akan memberikan yang terbaik untuk menang.
“Tiada apa yang berubah. Kami masih mempunyai pendekatan sama seperti hari pertama,” katanya.
Argentina bakal menentang Jordan yang sudah tersingkir selepas tewas dalam dua perlawanan pertama pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia.
Scaloni menjangkakan lawannya akan tampil dengan pendekatan lebih bertahan.
“Jordan biasanya bermain dengan lima pemain pertahanan dan kami bersedia untuk menyesuaikan corak permainan jika berdepan kesukaran.
“Kami mungkin perlu melakukan sesuatu yang berbeza bergantung kepada cara lawan bermain,” tambahnya.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






