Home Buletin Semasa LEBIH 4 TAN LEBIHAN MAKANAN BERJAYA DISELAMATKAN DI LIMA BAZAR RAMADAN DI...

LEBIH 4 TAN LEBIHAN MAKANAN BERJAYA DISELAMATKAN DI LIMA BAZAR RAMADAN DI KELANTAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Program MySave Food Ramadan 2026 berjaya menyelamatkan kira-kira lebih empat tan lebihan makanan sepanjang penganjurannya bermula 21 Februari hingga 14 Mac di lima bazar Ramadan di negeri ini, sekali gus membantu golongan memerlukan serta mengurangkan pembaziran makanan.

Ketua Operasi Zon Timur MySaveFood Ramadan 2026 Negeri Kelantan, Mohammad Sharul Iman Saebon berkata, sebanyak 4,027.2 kilogram (kg) lebihan makanan berjaya diselamatkan tahun ini, meningkat berbanding 1,907.3kg pada tahun lalu.

“Keseluruhan lebihan makanan yang diselamatkan itu dianggarkan bernilai lebih RM45,000, selain berjaya mengelakkan pelepasan kira-kira 7,539.7kg karbon dioksida ke alam sekitar.

“Lebih 500 penerima mendapat manfaat daripada lebihan makanan dan minuman itu, antaranya barisan hadapan seperti polis, kakitangan hospital, pengawal keselamatan, gelandangan dan golongan memerlukan lain bagi mengelakkan pembaziran makanan serta mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui kru IMedikel TV selepas Program MySave Food Ramadan 2026 di Bazar Stadium Sultan Muhammad Ke IV, di sini, malam tadi.

Mohammad Sharul Iman berkata, antara bazar Ramadan termasuk Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Bazar Ramadan Rahmah, Mydin Tunjong, Bazar Ramadan Kok Lanas, Bazar Ramadan Lembah Sireh dan Bazar Ramadan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia Cawangan Negeri Kelantan berkata, lebihan makanan itu bukan sisa makanan, sebaliknya makanan yang tidak habis dijual oleh peniaga.

“Kadangkala jumlah pembelian pelanggan tidak menepati jangkaan peniaga, menyebabkan terdapat lebihan makanan.

“Daripada ia dibuang ke dalam tong sampah, lebih baik kita salurkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan agar program MySave Food dapat dilaksanakan bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi juga di pasar malam dan lokasi tumpuan awam.

Katanya, usaha itu memerlukan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memudahkan sukarelawan menjalankan kerja pengumpulan dan pengagihan lebihan makanan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here