Home Buletin Semasa KPDN RAMPAS UBAT BATUK DISYAKI TIRUAN BERJUMLAH RM236,516.00

KPDN RAMPAS UBAT BATUK DISYAKI TIRUAN BERJUMLAH RM236,516.00

244
0

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan bagi tujuan memproses ubat batuk yang menggunakan jenama ubat batuk terkenal yang disyaki tiruan dianggarkan berjumlah RM236,516.00.

Menurut satu kenyataan, pihaknya melakukan serbuan ke atas sebuah premis tempat memproses dan menyimpan pelbagai barangan bahan-bahan mentah serta botol pembungkusan untuk menghasilkan produk ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan pada 15 Disember lalu.

Kesemua bahan-bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan.

Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang individu wanita, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, berumur 38 tahun untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

Operasi bersepadu yang dilakukan oleh sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) adalah hasil daripada aduan yang diterima serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KKM selama tiga (3) bulan sebelum serbuan.

Jika disabitkan kesalahan, sekiranya orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, denda boleh dikenakan sehingga tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000.00 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya. – KPDN –

I Medikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here