Home Buletin Semasa KKM BATAL NOTIFIKASI KOSMETIK MENGANDUNGI HIDROKUINON

KKM BATAL NOTIFIKASI KOSMETIK MENGANDUNGI HIDROKUINON

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi kosmetik Remy Laure Soothing Cream  selepas produk berkenaan dikesan mengandungi racun berjadual, hidrokuinon.

KKM dalam kenyataan memaklumkan kosmetik terbabit telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi KKM dan produk itu tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Produk yang mengandungi bahan berkenaan diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.

“Ubat mengandungi hidrokuinon hanya boleh digunakan atas nasihat serta pemantauan profesional kesihatan kerana penggunaan tanpa pengawasan sewajarnya boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan.

“Antara kesan yang boleh berlaku ialah kemerahan dan ketidakselesaan pada kulit, perubahan warna kulit yang tidak diingini serta kulit menjadi hipersensitif,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM penggunaan hidrokuinon juga boleh menghalang proses pigmentasi atau depigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinaran ultraungu (UV) berbahaya dan berpotensi meningkatkan risiko kanser kulit.

Dalam pada itu, KKM mengarahkan penjual dan pengedar produk terbabit supaya menghentikan penjualan serta pengedarannya dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran kosmetik berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Bagi individu, kesalahan pertama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berikutnya, hukuman boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya,” menurut KKM.

KKM turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan Remy Laure Soothing Cream supaya segera menghentikan penggunaannya.

“Mereka yang mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers selepas menggunakan produk berkenaan dinasihatkan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan.

“Orang awam juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik menerusi laman sesawang rasmi NPRA sebelum membeli atau menggunakannya,” jelas KKM.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here