Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Ribuan pengunjung membanjiri perkarangan Istana Kubang Kerian dan kompleks Kota Darulnaim (SUK) malam tadi untuk menyaksikan panorama cahaya sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Tinjauan kru IMedikel TV mendapati lampu beraneka warna yang menghiasi bangunan ikonik itu menjadikan suasana malam begitu meriah, sekali gus menarik kehadiran segenap lapisan masyarakat, yang tidak mahu melepaskan peluang mengabadikan kenangan bergambar.
Seorang pengunjung, Dr. Ahmad Fakhrul Ghazi Mohd Rasani, 35, dari Peringat, berkata beliau membawa isteri dan anak-anak sempena cuti sekolah untuk menikmati suasana istimewa itu.

“Bukan selalu kita dapat lihat persekitaran yang indah seperti ini. Anak-anak sangat teruja melihat cahaya lampu berwarna-warni.
“Walaupun terpaksa meredah kesesakan lalu lintas, namun untuk memberi pengalaman kepada anak-anak saya sanggup,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Bagi seorang lagi pengunjung, Ahmad Adib, 14, dari Lundang berkata kesempatan bercuti digunakan untuk bersama keluarga ke lokasi tersebut.

“Seronok dapat lihat hiasan lampu yang cantik. Ramai juga datang bergambar, jadinya suasana sangat meriah,” katanya.
Sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan ke-56 bukan sahaja mencerminkan kasih rakyat kepada baginda Sultan, malah turut menjadi simbol kesyukuran dan kebersamaan.
Kilauan cahaya lampu yang memancar pada malam itu seakan melambangkan sinar kesejahteraan serta perpaduan rakyat jelata.
IMedikel TV






