Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU,: Seorang pemilik kedai makan dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 selepas didapati menggaji 18 warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar Gua Musang, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan, Garry Belayong John Siki dalam hantaran media sosial rasmi memaklumkan, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati warga asing terbabit melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kompaun tersebut dikeluarkan pada 18 Mei lalu terhadap majikan terbabit kerana menggaji warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“JIM Kelantan menegaskan bahawa setiap warga asing yang berada di negara ini hendaklah sentiasa memastikan pas dan dokumen perjalanan mereka sah sepanjang tempoh keberadaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan majikan supaya tidak menggaji, melindungi atau membenarkan warga asing bekerja tanpa dokumen perjalanan serta pas yang sah.
“Operasi dan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen negara,”katanya.
Katanya usaha penguatkuasaan ini akan diteruskan secara berterusan bagi memelihara kedaulatan undang-undang, menjamin keselamatan negara serta memastikan pematuhan terhadap peraturan imigresen yang berkuat kuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh menyalurkan aduan kepada JIM Kelantan menerusi talian 019-9840377 atau 09-7441833 selain portal rasmi aduan imigresen.
IMedikel TV






