Home Hiburan CEBURI KERJAYA PENGANJUR KONSERT DAN ACARA, BERLAKON TETAP KERJAYA HAKIKI

CEBURI KERJAYA PENGANJUR KONSERT DAN ACARA, BERLAKON TETAP KERJAYA HAKIKI

Mula menceburi industri seni sejak 2013, pelakon Bella Dowanna kini mula bersikap selektif dalam memilih tawaran lakonan selepas membintangi dua karya bergenre komedi romantik.

Memetik laporan Harian Metro, Bella atau nama sebenarnya Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, 23, berkata dia berhasrat mengurangkan pembabitan dalam naskhah komedi romantik, sebaliknya mahu beralih kepada watak yang lebih berat selepas ini.

“Langkah ini diambil memandangkan sudah agak lama tidak membawakan naskhah yang berat.

“Rasanya karya berat terakhir yang pernah saya jayakan adalah menerusi filem M4m4 pada 2020. Untuk akan datang, saya mahu cuba untuk berlakon semula dalam genre-genre seperti itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Bella berkata, pembabitannya dalam bidang penganjuran tidak hanya terhad kepada konsert semata-mata, malah turut merangkumi pelbagai jenis acara lain.

Menceritakan titik permulaan pembabitannya, Bella berkongsi ia bermula daripada minat mendalam terhadap penganjuran konsert sejak 2022, hingga timbul rasa ingin tahu tentang proses di sebalik tabir.

“Saya memang suka sangat pergi konsert. Daripada situ timbul persoalan bagaimana mahu menganjurkan konsert dari awal, apa proses yang perlu dilalui dan bagaimana cara memanggil artis luar datang ke Malaysia.

“Malah, saya pernah terfikir untuk membawa kumpulan terkemuka, BTS untuk datang ke Malaysia. Daripada situ, saya mula belajar dan kini sudah faham prosesnya,” katanya lagi.

Menurut Bella, penganjuran sesebuah konsert bukanlah satu tugas mudah kerana membabitkan pelbagai prosedur seperti permohonan lesen, pendaftaran serta bayaran tempahan lokasi.

Tidak lari dengan komitmen sebagai anak seni, pelakon drama Budak Tebing ini tidak menghadapi masalah dalam membahagikan masa antara kerjaya lakonan dan pembabitannya sebagai penganjur acara serta konsert.

“Bagi jemputan acara seperti berkaitan kecantikan dan fesyen, saya bersikap selektif dan tidak menghadiri semuanya.

“Manakala, untuk penganjuran konsert pula, kita mempunyai tempoh masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk proses persiapan bermula dari peringkat awal sehinggalah ke hari konsert itu. Jadi, masa itu memang boleh disusun dengan baik.

“Sebenarnya kalau ada tawaran berlakon, ia kekal sebagai kerja hakiki saya kerana saya memang tahu yang saya adalah seorang pelakon,” kongsinya.

Meskipun masih baharu dalam bidang penganjuran konsert ini, Bella sentiasa berwaspada dan mengambil iktibar daripada isu membabitkan penganjur acara yang didakwa menipu beberapa selebriti, sebelum ini.

Bella berkata, dia berusaha sehabis baik untuk mengelakkan perkara seumpama itu daripada berlaku dalam setiap projek penganjuran dikendalikannya.

“Saya belajar daripada keadaan sekeliling yang terjadi dan saya cuba sedaya upaya untuk memastikan perkara sedemikian tidak berlaku.

“Sebenarnya, setiap kali saya menghadiri sesebuah konsert, saya hadir sebagai ‘guest list’, saya bukan sekadar hadir untuk berfoya-foya dan suka-suka sahaja. Saya belajar juga cara mengendalikannya,” katanya.

Bella selaku pengarah syarikat penganjuran acara miliknya iaitu Beatus Live, berkata, dia menyifatkan segala komen negatif penonton yang hadir ke konsert anjurannya sebagai satu perkara yang tidak dapat dielakkan sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam indsutri seni.

“Komen daripada orang luar ini memang akan sentiasa ada. Tidak kisah sama ada awak seorang penganjur acara (EO) atau bukan, begitu juga jika bekerja sebagai pelakon mahupun penyanyi.

“Bagi saya, itu adalah perkara yang perlu saya hadapi sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam industri ini. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan, dilarikan atau ditolak begitu sahaja.

“Mahu katakan ia satu perkara yang positif? Tidak juga, tetapi semuanya bergantung bagaimana cara kita menerima pandangan tersebut,” katanya.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here