LONDON: Bayern Munich dijangka membuat tawaran bernilai hampir £70 juta (RM419.40 juta) bagi mendapatkan Harry Kane, tetapi mereka mahu perpindahan itu diselesaikan dengan segera.
Bagaimanapun, tawaran baharu itu nampaknya tidak memenuhi jangkaan Tottenham, menyebabkan penyerang itu kembali berlatih bersama pasukan sebelum Spurs memulakan jelajah pramusim mereka ke Australia, Thailand dan Singapura.
Juara Bundesliga itu perlu menawarkan lebih daripada £56 juta (RM335.52 juta) yang mana jumlah itu tidak cukup meyakinkan pengerusi Spurs, Daniel Levy untuk menjual pemain itu walaupun Kane, 30, hanya mempunyai baki setahun dalam kontraknya.
Bidaan kedua, sedikit lebih tinggi dengan klausa di luar jangka dan mungkin mencecah £68 juta (RM407.41 juta) dan nampaknya ia jumlah yang boleh Bayern tawarkan untuk pemain yang akan dibebaskan pada musim panas depan dengan mereka dijangka akan menghadapi cabaran yang lebih kompetitif untuk menandatanganinya kemudian.
Bayern tidak boleh menunggu satu musim lagi dengan bekas pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menjadikan Kane sasaran utama kelab yang sedang bergelut untuk mengisi jurang yang ditinggalkan selepas pemergian Robert Lewandowski ke Barcelona pada musim panas lalu.
Walaupun mereka memenangi Bundesliga, mereka melakukannya hanya pada hari terakhir musim ini, tewas kepada Manchester City pada suku akhir Liga Juara-Juara dan pada satu peringkat kelihatan seperti menamatkan musim tanpa trofi buat kali pertama sejak 2012.
Bayern sedang melengkapkan pembelian £42.7m (RM255.83 juta) pemain tengah Napoli dari Korea Selatan, Kim Min-Jae dan mahu isu penyerang tengah diselesaikan dengan cepat.
Tuchel meningkatkan kuasanya sejak pemergian pengarah sukan Hasan Salihamidzic dan Kane adalah pilihan utamanya, bermakna kelab akan berusaha untuk mendapatkannya.
Tottenham kekal dengan pendirian mereka bahawa mereka tidak mahu menjual dan tidak menjangkakan bahawa Kane akan pergi biarpun kontraknya hanya baki satu tahun.
Mereka lebih suka melanjutkan perjanjian tetapi ia jelas memerlukan tawaran besar, mungkin melebihi apa yang akan ditawarkan oleh Bayern, untuk memujuk mereka menjual musim panas ini.
Sumber HMetro Online
Sumber AGENSI
Imedikel TV






