Home Hiburan AZHAN RANI HORMATI KEPUTUSAN NOORKHIRIAH ‘OFF’ MEDIA SOSIAL

AZHAN RANI HORMATI KEPUTUSAN NOORKHIRIAH ‘OFF’ MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR: Pelakon Azhan Rani menghormati keputusan rakan seperjuangannya, Noorkhiriah untuk menyepi daripada media sosial, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang normal.

Memetik laporan Berita Harian, Azhan, 50, atau nama sebenarnya Azhan Abdul Rani, berkata setiap individu mempunyai sebab tersendiri untuk berehat seketika daripada platform media sosial, termasuk keperluan mendapatkan ruang untuk diri sendiri.

Katanya, dia sendiri pernah mengambil keputusan untuk ‘off’ daripada media sosial selama kira-kira enam hingga tujuh bulan sebelum kembali menggunakan akaun baharu.

“Bagi saya, perkara ini normal. Saya sendiri pernah ‘off’ dan tutup terus akaun Facebook (FB) dan Instagram (IG). Akaun yang saya gunakan sekarang pun sebenarnya baharu.

“Hampir enam bulan hingga tujuh bulan juga saya berhenti. Selepas itu, saya buat semula akaun. Kadang-kadang kita memang ada rasa mahu ‘off’ dulu,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Azhan mengakui tidak mengetahui secara terperinci mengenai keputusan Noorkhiriah untuk tidak lagi aktif di media sosial, justeru tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai perkara itu.

“Sejujurnya, saya tidak tahu pun mengenai perkara itu. Mungkin setiap orang ada sebab kenapa mereka mahu ‘off’ seketika daripada media sosial.

“Mungkin dia mahu fokus kepada perkara lain. Setiap orang tidak sama. Bagi saya, ia perkara normal kerana saya sendiri kadang-kadang melalui fasa seperti itu,” katanya.

Azhan berkata, kali terakhir dia bekerja bersama Noorkhiriah adalah menerusi drama Seribu Tahun yang menjalani penggambaran tahun lalu.

“Tahun lalu, kami banyak berjumpa ketika menjalani penggambaran drama Seribu Tahun. Tahun ini, belum ada lagi drama yang kami buat bersama.

“Bagaimanapun, kadang-kadang dia masih ada dalam kumpulan WhatsApp drama itu. Kami masih berada dalam kumpulan yang sama. Cuma terbaharu, saya dengar dia sudah tukar nombor telefon,” katanya.

Menurut Azhan, beberapa rakan yang masih berada dalam kumpulan WhatsApp berkenaan, termasuk Ieda Moin, ada menyampaikan perkembangan mengenai Noorkhiriah dari semasa ke semasa.

Katanya, walaupun mereka tidak berhubung secara langsung setiap hari, komunikasi dalam kalangan rakan seperjuangan masih wujud.

Mengulas kemungkinan Noorkhiriah mengambil keputusan berkenaan kerana mahukan ketenangan, Azhan berkata, media sosial juga boleh menjadi ruang yang memberi tekanan kepada seseorang, terutama apabila berdepan kecaman atau komen negatif.

“Mungkin dia mahu ‘me time’. Pada saya, tidak mengapa kerana tujuan setiap orang berbeza. Saya ada tujuan saya, dia mungkin ada tujuan sendiri.

“Mungkin ada perkara yang ‘trigger’ dia atau sesuatu yang membuatkan dia berasa tidak selesa dengan media sosial.

“Kadang-kadang media sosial boleh menjadi sesuatu yang menyebabkan seseorang ketagih. Ia juga boleh menjadi ruang untuk ‘haters’ atau pihak tertentu menjatuhkan seseorang.

“Kalau seseorang itu tidak kuat menghadapi kecaman dan sebagainya, mungkin daripada terus menjawab, lebih baik dia berhenti seketika,” katanya.

Azhan juga tidak menolak kemungkinan Noorkhiriah mahu memberikan lebih tumpuan kepada kehidupan berkaitan agama dan mengurangkan perkara yang boleh mengganggu fokusnya.

“Kalau kita kenal Khiriah, dia sekarang lebih fokus kepada perkara berkaitan agama dan sebagainya. Mungkin dia mahu tumpukan perhatian ke arah itu dan menjauhkan diri seketika.

“Mungkin perkara seperti media sosial boleh melalaikan dirinya. Jadi, apa pun yang dia buat, saya hormati sebagai kawan. Saya hormati apa juga keputusannya.

“Apa yang penting, dia sihat dan selamat, cukuplah,” katanya.

Terdahulu, pelakon Ieda Moin meminta peminat mendoakan yang terbaik buat Noorkhiriah yang dikatakan mengundurkan diri daripada radar dunia hiburan, selain tidak lagi dilihat aktif di media sosial sejak kebelakangan ini.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, 47, mengakui tidak mengetahui punca Noorkhiriah memilih untuk menjauhkan diri daripada perhatian umum seperti yang disedari sesetengah pihak ketika ini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here