Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyampikan penghargaan kepada Nur Syafienaz Nazri, 18, apabila menjadi anak Orang Asli pertama di Kelantan memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam hantaran media sosial Facebook, berkata sebagai tanda penghargaan, kerajaan negeri melalui Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Nur Syafienaz.
“Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Itulah gambaran paling tepat menggambarkan usaha dan pencapaian Nur Syafienaz daripada suku kaum Temiar yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya, Gua Musang.
“Kejayaan Nur Syafienaz itu menjadi kebanggaan bukan sahaja buat keluarganya, malah seluruh rakyat Kelantan,”katanya dalam kenyataan selepas bertemu dengan pelajar berkenaan dalam satu majlis penghargaan, semalam.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus memastikan kebajikan seluruh rakyat, termasuk masyarakat Orang Asli, sentiasa terpelihara tanpa mengira latar belakang.
Beliau meengucapkan tahniah kepada Nur Syafienaz dan berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada anak-anak Kelantan lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
IMedikel TV






