Home Buletin Semasa STR DITERUSKAN DEMI RINGANKAN BEBAN RAKYAT

STR DITERUSKAN DEMI RINGANKAN BEBAN RAKYAT

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan Imedikel TV

KOTA BHARU: Kesempitan hidup dan suara rakyat masih didengari kerajaan bagi membantu meringankan beban mereka.

Dengan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meneruskan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 9 juta penerima di seluruh negara.

Kerajaan juga bersetuju meningkatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion  atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion  kepada RM10 bilion.

Seorang pembantu kedai makan, Che Maimun Ariffin, 68, dari Kampung Pasir Hor, di sini, berkata STR sedikit sebanyak membantunya dalam menampung keperluan harian.

Peniaga kedai makan, Che Maimun Ariffin, 68, berkata STR ringankan beban keluarganya.

“Kalau nak diikutkan dengan ekonomi sekarang, memang tak cukup, tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung yang mana perlu.

“Pendapatan bulanan saya tidak banyak sebab banyak komitmen lain yang perlu saya bayar. Syukur STR ini diteruskan, rasa lega sangat,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Bagaimanapun seorang pemandu E-Hailing, Md,. Narizam Abdullah, 67, berkata dia pernah memohon STR tetapi permohonannya ditolak.

Pemandu E-Hailing, Md. Narizam Abdullah, 67

“Saya dah pernah mohon, tetapi tidak layak. Mungkin juga disebabkan isteri saya seorang kakitangan kerajaan.

“Kalau boleh saya nak lah, sebab masih ada anak yang bersekolah, lagipun pendapatan sebagai pemandu E-Hailing tidak menentu, saya pun sudah dalam kategori warga emas. Tapi, untuk menampung perbelanjaan keluarga, saya perlu bekerja juga,”katanya.

Permohonan baharu STR akan dibuka seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

Bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada Februari 2024.

Media sebelum ini melaporkan kadar maksimum STR pada 2024 akan dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 sebelum ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kadar minimum STR bagi golongan belia juga meningkat kepada RM500 berbanding RM350 sebelum ini.

IMEDIKEL TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here