Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV
BACHOK: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus mengambil inisiatif dalam memberi sokongan emosi dan bantuan terhadap dua remaja lelaki yatim piatu yang kehilangan ibu bapa dan keluarga akibat kemalangan maut di jalan Kuantan-Segamat, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkata, pihak JKM telahpun mengadakan sesi kaunseling bersama Abdul Rahman Amir Rudin, 19, ketika melawat di kediamannya.
“Kaunseling adalah perkara utama yang akan dilaksanakan oleh JKM untuk melihat bagaimana keadaan dari segi mental dan emosinya kerana semuanya perlu kita ketahui dan untuk menangani dan disantuni oleh pegawai JKM kita.
“Sekarang tinggal dua beradik, satu masih ada di hospital, satu sudah kira dibantu oleh JKM,”katanya kepada pemberita selepas Program Jerayawara KPWKM@Advokasi Anti Gangguan Seksual Negeri Kelantan, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Nancy berkata terdapat juga bantuan kewangan terhadap Abdul Rahman dan adiknya Abdullah, 15, untuk keperluan kehidupan dan pengajiannya.
“Ada bantuan kewangan dari segi pengajiannnya namun mungkin kita akan tengok dulu bagaimana sebab ianya baru saja dan secara tiba-tiba, maka kita perlu kaji teliti dahulu kerana ramai pihak juga yang ingin membantu.”jelasnya.
Imedikel TV






