Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 setiap murid mulai tahun depan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya menjadi pendekatan baharu untuk menggalakkan ibu bapa lebih dekat dengan perkembangan pendidikan anak-anak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian bantuan itu akan dilaksanakan dengan penglibatan secara langsung ibu bapa menerusi kehadiran ke sekolah bagi membolehkan komunikasi antara ibu bapa dan guru diperkukuhkan.
Beliau berkata, langkah itu penting supaya ibu bapa tidak hanya mengetahui aspek keperluan persekolahan anak-anak, malah memahami perkembangan akademik, sahsiah serta cabaran yang dihadapi mereka di sekolah.
“Kalau dahulu bantuan dimasukkan terus ke akaun bank ibu bapa, kali ini saya mahu ibu bapa pergi ke sekolah.
“Kita mahu ibu bapa tahu anak mereka belajar atau tidak, ada masalah disiplin, terlibat dalam buli atau menyiapkan kerja sekolah. Guru juga boleh menerangkan tanggungjawab ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kompleks Sukan Balik Pulau, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Anwar berkata, usaha mendidik anak-anak tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada guru kerana ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk ilmu, disiplin dan keperibadian mereka.
Menurutnya, ibu bapa perlu melihat kehadiran ke sekolah sebagai tanggungjawab bersama, bukan satu beban, kerana anak-anak menghabiskan sebahagian besar masa harian bersama warga pendidik.
Sementara itu, beliau berharap BAP yang diberikan kerajaan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membantu keluarga menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Beliau turut mengingatkan murid supaya menghargai pengorbanan ibu bapa dan guru yang sentiasa berusaha memastikan mereka memperoleh pendidikan terbaik.
IMedikel TV






