Home Buletin Semasa BALU ANGGOTA POLIS TERIMA PAMPASAN RM72,500, UTAMAKAN MASA DEPAN ANAK

BALU ANGGOTA POLIS TERIMA PAMPASAN RM72,500, UTAMAKAN MASA DEPAN ANAK

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Balu kepada anggota polis yang meninggal dunia dalam kemalangan, Nor Ilyanie Abd Aziz, 26, merancang menggunakan wang pampasan berjumlah RM72,500 yang diterima bagi menjamin masa depan anak tunggalnya yang kini berusia enam bulan.

Nor Ilyanie yang bekerja sebagai akauntan swasta berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan serta masa depan anaknya, Muhammad Akif Irsyad, 6 bulan, terus terpelihara selepas kehilangan suami tercinta.

Menurutnya, kehidupan perlu diteruskan dan beliau berharap segala urusan membesarkan anak dipermudahkan.

“Wang ini untuk perancangan masa depan anak. Apa-apa pun anak dahulu kerana dia masih kecil dan kehidupan perlu diteruskan.

“InsyaAllah, doakan saya dipermudahkan segala urusan,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan ziarah dan sumbangan di kediamannya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan menyampaikan replika cek pampasan insurans berjumlah RM72,500 kepada Nor Ilyanie menerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).

Jumlah berkenaan merangkumi pampasan insurans kelompok sebanyak RM66,000, khairat kematian RM5,000 serta sumbangan khairat daripada koperasi sebanyak RM1,100.

Nor Ilyanie turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Hussein atas kesudian menziarahi keluarganya serta menyampaikan ucapan takziah.

Beliau juga berterima kasih kepada semua anggota polis, pihak koperasi dan media yang menghulurkan bantuan bagi membantunya meneruskan kehidupan bersama anak.

Dalam masa sama, beliau memohon orang ramai terus mendoakan kesejahteraan arwah suaminya serta menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat Allahyarham.

Media sebelum ini melaporkan Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob maut dalam kemalangan membabitkan van polis di Sungkai, Perak, pada 17 November lalu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here