Home Buletin Semasa AL-SULTAN ABDULLAH BERKENAN RASMI STESEN ECRL KOTASAS

AL-SULTAN ABDULLAH BERKENAN RASMI STESEN ECRL KOTASAS

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) KotaSAS, di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, baginda berkenan mendengar taklimat oleh Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar sebelum menyempurnakan perasmian menerusi gimik khas.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, menghubungkan Kota Bharu dengan Lembah Klang.

Fasa Satu sepanjang 520 km menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak, manakala Fasa Dua menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang, fasa kedua itu dijangka siap menjelang Disember 2027, dengan operasi dijadualkan bermula pada Januari 2028.

Stesen ECRL KotaSAS merupakan stesen utama ECRL di Pahang yang dibangunkan di kawasan seluas 15.57 hektar dengan reka bentuk diinspirasikan daripada motif Gading Gajah Bersilang pada Jata Negeri Pahang, melambangkan keagungan adat istiadat serta sejarah diraja negeri.

Stesen berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik tetamu kehormat (VIP), ruang menunggu, eskalator, kedai serbaneka, laluan pejalan kaki dan basikal serta lebih 500 petak parkir, termasuk tempat letak kereta berbumbung solar.

Kedudukannya yang strategik dalam kawasan pembangunan KotaSAS serta berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan Masjid Bandaraya bakal memperkukuh peranannya sebagai salah satu hab pengangkutan utama di Kuantan.

Menurut Shamsul, kemajuan pembinaan jajaran Fasa Pertama ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor telah mencapai 99.03 peratus, manakala jajaran di Pahang mencatatkan kemajuan sebanyak 99.17 peratus setakat Oktober 2026.

Operasi komersial ECRL bagi jajaran Kota Bharu-Gombak sepanjang 519 kilometer yang melibatkan 16 stesen disasarkan bermula pada 12 Disember 2026.

“Perkhidmatan ECRL dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Pantai Timur melalui peningkatan hubungan pengangkutan, perdagangan dan pelaburan, selain membuka peluang pekerjaan serta merancakkan industri pelancongan.

“Perjalanan dari Kuantan ke Gombak dijangka mengambil masa hanya satu jam 30 minit berbanding kira-kira tiga jam melalui jalan raya,” katanya

IMedikel

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here