Home Buletin Semasa POCHETTINO LAKAR DUA REKOD BAHARU EPL BERSAMA UNITED

POCHETTINO LAKAR DUA REKOD BAHARU EPL BERSAMA UNITED

LIVERPOOL: Mauricio Pochettino menempuh aksi sulung yang mengecewakan bersama Manchester United apabila mencatatkan dua rekod buruk Liga Perdana Inggeris (EPL) yang tidak diingini.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Pochettino, 54, mengambil alih United ketika kelab itu berada di kedudukan kedua tercorot dalam carta liga.

Kariernya bersama The Red Devils bermula dengan langkah kiri seperti yang dijangka apabila berdepan musuh tradisi baharunya, Liverpool.

Segalanya serba tidak menjadi dalam tempoh hanya sepuluh minit apabila pengendali kelahiran Argentina itu kehilangan Leny Yoro yang dilayangkan kad merah terus sebelum tuan rumah membuka tirai jaringan.

Yoro diperintahkan keluar padang selepas mengasari Alexander Isak yang ketika itu sedang meluru ke arah gawang gol pada minit kelapan.

Tiada pengurus EPL yang pernah menyaksikan pemainnya dibuang padang sepantas itu dalam perlawanan pertama mereka.

Ia sekaligus memecahkan rekod Egil Olsen, di mana bekas pengurus Wimbledon itu menyaksikan Dean Blackwell dilayangkan kad merah ketika menentang Watford selepas 17 minit pada tahun 1999.

Keadaan bertambah buruk sejurus selepas itu apabila Dominik Szoboszlai meledak sepakan percuma menewaskan Senne Lammens untuk membuka jaringan.

Derita United semakin bertambah apabila Florian Wirtz menggandakan kelebihan skuad Merseyside itu hanya beberapa minit kemudian.

Ia bermakna Pochettino sekali lagi mencipta sejarah sebagai satu-satunya pengurus yang menyaksikan pasukannya dibolosi dua kali dan menerima kad merah pada separuh masa pertama dalam perlawanan sulung mengendalikan mana-mana kelab.

Namun bukan itu sahaja, kepulangan bekas pengendali Chelsea itu ke saingan EPL menjadi semakin parah.

Liverpool terus menambah derita Pochettino dan United pada separuh masa kedua.

Rio Ngumoha menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-66 dan Victor Munoz melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah hanya lapan minit sebelum tamat perlawanan. – AGENSI, BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here