Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan, Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul Najmi yang dilaporkan hilang di Kampung Bechah Salak, di sini, ditemukan selamat pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata mangsa ditemukan seorang penduduk pada jam 10.33 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai menggunakan
jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa menerusi NG999 pada jam 6.37 petang, 22 November lalu.
Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 6.44 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sekitar rumah, kolam serta kawasan hutan berhampiran.
“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan K9 polis dan orang awam.
“Operasi pencarian diteruskan pagi ini dengan penglibatan anggota BBP Sungai Durian, unit K9 Bomba, PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Bagaimanapun, operasi berakhir selepas mangsa ditemukan orang awam pada jam 10.33 pagi dalam keadaan selamat,” katanya.
IMedikel TV






