Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya merampas 120,000 batang rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM96,000 dalam satu operasi di Kuala Besar, Kota Bharu pada 20 November lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, rampasan itu dibuat susulan maklumat risikan berhubung sebuah bot pancung yang disyaki membawa barang kontraban memasuki perairan negara dari negara jiran.
“Bot peronda Maritim Malaysia mengesan bot berkenaan dalam keadaan bergelap dan mencurigakan kira-kira jam 7.50 malam sebelum bertindak mengejarnya.
“Bot pancung terbabit dikejar dari perairan Kuala Besar sehingga ke Kuala Pak Amat, namun suspek berjaya meloloskan diri melalui laluan sungai yang sempit dan cetek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di Tok Bali, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, Tim Operasi Darat digerakkan untuk melakukan pencarian di sekitar kawasan Sungai Raja Gali bagi mengesan suspek dan barang yang dibawa.
Menurutnya, kira-kira jam 9.40 malam, pasukan operasi mengesan aktiviti mencurigakan di tebing sungai Kampung Madat, Kota Bharu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bot pancung terbabit.
Tambahnya, sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, dua buah kenderaan iaitu sebuah pacuan empat roda dan sebuah kenderaan pelbagai guna memecut meninggalkan lokasi, manakala bot pancung berkenaan turut melarikan diri dari kawasan tebing sungai.
“Pasukan operasi kemudian meneruskan pemeriksaan di kawasan sekitar sebelum menemui 12 bungkusan besar berwarna hijau gelap yang ditinggalkan pada kira-kira jam 9.45 malam.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bungkusan terbabit mengandungi kotak berwarna coklat dipercayai berisi rokok putih tidak bercukai dan kesemua barang tersebut dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Kamal berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan, operasi risikan dan penguatkuasaan di perairan serta kawasan pesisir Kelantan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya kegiatan penyeludupan kontraban.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
IMedikel TV






