Home Buletin Semasa MPKB-BRI JELASKAN PROJEK NAIK TARAF HAMPIR 50 HENTIAN BAS DI KOTA BHARU

MPKB-BRI JELASKAN PROJEK NAIK TARAF HAMPIR 50 HENTIAN BAS DI KOTA BHARU

Oleh: Afrizam Arif @IMedikel TV

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menjelaskan projek naik taraf dan baik pulih hampir 50 hentian bas di sekitar bandar raya ini dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kemudahan pengguna pengangkutan awam.

MPKB-BRI dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook memaklumkan projek itu dilaksanakan hasil peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta sebahagiannya menggunakan peruntukan tahunan pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, projek berkenaan turut dilaksanakan selaras dengan usaha pengindahan bandar yang dijalankan bersama Jabatan Landskap Negara (JLN) dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026.

“Sebelum pelaksanaan projek, perbincangan awal telah diadakan bersama pengendali perkhidmatan bas termasuk MyBus dan Konsortium E-Mutiara bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas berkaitan lokasi hentian bas yang terlibat.

“Penilaian mendapati status pemilikan hentian bas di Kota Bharu adalah berbeza-beza, termasuk aset milik MPKB-BRI, milik persendirian serta sumbangan pihak tertentu,” menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, terdapat juga sebahagian hentian bas lama yang tidak lagi berada di laluan atau lokasi rasmi dan pemilihan lokasi baharu dibuat berdasarkan faktor keselamatan, kesesuaian serta keperluan pengguna semasa.

Jelasnya, penambahbaikan yang dilaksanakan turut mengambil kira hentian bas yang bukan berada di bawah pemilikan pihak berkuasa tempatan itu demi kepentingan orang ramai.

Mengulas isu yang dibangkitkan oleh Hiyaz Community, MPKB-BRI memaklumkan pihaknya telah menghubungi komuniti berkenaan pada 26 Oktober lalu sebelum projek bermula bagi memaklumkan perancangan naik taraf yang akan dilaksanakan.

Makluman awal mengenai projek telah disampaikan dan pelawaan untuk berbincang serta bekerjasama turut dikemukakan, namun tiada maklum balas diterima sehingga kenyataan ini dikeluarkan.

“Kami sentiasa terbuka menerima teguran, aduan dan cadangan daripada masyarakat serta mengalu-alukan kerjasama individu, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita harap sebarang maklumat yang disebarkan kepada orang ramai dibuat berdasarkan fakta yang sahih bagi mengelakkan salah faham dan persepsi negatif terhadap usaha penambahbaikan kemudahan awam yang sedang dilaksanakan,” tambah kenyataan itu.

IMedikelTV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here