Oleh Wartawan IMedikel TV
KOTA TINGGI : Kementerian Pertahanan (MINDEF) bercadang menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyiasat insiden penemuan dadah di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan jawatankuasa itu akan dilakukan selepas siasatan selesai dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya ia menyiasat penglibatan anggota lain serta mempertingkatkan prosedur di semua pengkalan udara milik TUDM.
“Memang kita akan tubuhkan sebab kita nak semak sama ada ini kes-kes terpencil ataupun ia sudah menjadi budaya. Itu kita akan semak.
“Saya tak tahu. Polis yang kata ia sebahagian sindiket dan polis pun sebelum ni tak berkongsi kerana (kes) sedang disiasat.
“Tapi kita tak berkompromi kerana kita tahu itu soal siapa yang berani lakukan. Saya ingat kalau betul dadah dan sebagainya, hukumannya sangat berat. Seumur hidup ataupun hukum mati. Itu berani buat, berani tanggunglah.
“Itu semua kita akan kita akan berasaskan pada kes ni. Kita nak tahu macam mana ia boleh berlaku sebagainya. Dan tentunya daripada situ kita akan cuba pertingkatkan dan perketatkan lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Hari Apresiasi Tabika KEMAS Program IQRA’ dan Fardhu Ain (IQRA’) Tabika KEMAS Parlimen Kota Tinggi Tahun 2026 di Lotus Desaru di sini hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, pihaknya tidak menolak kemungkinan aset-aset tentera digunakan jika ia berkaitan dengan sindiket dadah.
“Tetapi apa pun oleh kerana berlaku begini, kita tidak tolak kemungkinan apa tu aset-aset tentera digunakan seperti kapal terbang, kapal terbang pengangkut menjadi alat kepada sindiket.
“Sindiket ini saya percaya akan gunakan apa saja untuk mencapai matlamatnya. Dan kepada anggota-anggota harus menerima hakikat bahawa bukan sahaja langgar amanah dan menjejaskan integriti tetapi mereka yang terlibat harus faham hukumannya adalah sangat-sangat berat dan MINDEF tak akan melindungi sesiapa yang melakukan kesalahan begini,”katanya.
Pada Selasa, Mohamed Khaled sebelum ini memaklumkan pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang, membawa kepada penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak, selain penahanan lima pegawai TUDM yang disyaki terlibat.
Penemuan itu dibuat oleh petugas di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang dan merupakan kejadian pertama seumpamanya dikesan menerusi pemeriksaan rutin berkenaan.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan susulan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lepas.
IMedikel TV






