KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) perlu menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Super apabila beraksi di laman sendiri menentang Brunei DPMM FC dalam aksi ketujuh liga malam esok.
Memetik laporan Berita Harian, Nafuzi berkata, apa yang lebih penting ketika ini adalah komitmen setiap pemain yang diturunkan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing selain membuktikan kemampuan sebenar di atas padang.
“Bagi saya, perkara paling penting ialah siapa sahaja pemain yang diturunkan perlu mampu memberikan apa yang kita mahukan, setiap pemain perlu tahu tanggungjawab masing-masing dan memberikan persembahan terbaik,” kata Nafuzi.
Mengulas persiapan pasukan, Nafuzi menyifatkan perancangan berjalan dengan baik meskipun tujuh pemain yang menyertai skuad kebangsaan bagi aksi persahabatan di China pada 14 dan 17 November lalu mungkin sedikit keletihan.
Bagaimanapun bekas pengendali skuad muda kebangsaan itu berharap faktor itu tidak menjejaskan tumpuan pemain untuk memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan penting itu.
“Kita perlu berjuang bersungguh-sungguh kerana kita memang mahukan kemenangan. Keputusan perlawanan bukan bergantung kepada apa yang kita nampak bagus di atas kertas, sebaliknya perlu dibuktikan melalui usaha dan persembahan di padang,” katanya yang bakal kehilangan dua penyerang, Romel Morales dan Gervane Kastaneer kerana digantung perlawanan.
Setakat ini, TFC hanya mengumpul lima mata menerusi satu kemenangan dan dua keputusan seri daripada enam perlawanan dengan menghuni di tangga kesembilan liga. – BH Online –
IMedikel TV






