NIGERIA: Seorang lelaki yang disangka meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan motosikal dilaporkan tersedar di bilik mayat dengan muka dan badannya masih disaluti serbuk putih yang digunakan pada mayat, lapor Metro UK.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu dikatakan terbabit dalam kemalangan berhampiran Evwreni, Delta, Nigeria, sebelum dibawa ke bilik mayat pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, lelaki itu dilaporkan kembali sedar sehingga mengejutkan orang ramai yang berada di lokasi.
Rakaman kejadian yang dikongsi di media sosial dipercayai menunjukkan lelaki itu bangun dengan serbuk putih masih meliputi muka dan badannya.
Menurut laporan media tempatan, permintaan pertama lelaki itu selepas tersedar adalah untuk mendapatkan rokok dan pemetik api.
Seorang lelaki dalam rakaman itu turut memberitahunya bahawa dia perlu menjalani pemeriksaan perubatan susulan kejadian berkenaan.
Difahamkan, rakaman itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam talian dengan sesetengah pengguna menyifatkan kejadian itu sebagai satu keajaiban.
Namun, ada juga yang mempersoalkan bagaimana lelaki itu boleh disangka meninggal dunia dan dibawa ke bilik mayat tanpa pemeriksaan perubatan sewajarnya.
Keadaan sebenar kejadian itu masih belum jelas, manakala identiti serta keadaan terkini lelaki berkenaan belum disahkan secara bebas.
Pihak berkuasa juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






