Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Seramai 1,200 pegawai dan anggota penyelamat di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuantan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula sehingga Mac tahun depan.
Sekretariat JPBD Kuantan, Mejar (PA) Zahidi Zainudin berkata, semua persiapan telah dilaksanakan merangkumi aspek sumber manusia, logistik dan aset bagi memastikan operasi menyelamat serta bantuan kepada mangsa banjir dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuantan, fenomena air pasang dijangka berlaku pada minggu kedua dan keempat November serta Disember ini.
Katanya, keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko banjir sekiranya hujan lebat berterusan, khususnya di kawasan rendah dan berhampiran sungai utama.

“Selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JPBD Kuantan turut membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kami bekerja sebagai satu pasukan membabitkan aktiviti menyelamat, penghantaran bantuan dan pemindahan mangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Flag-Off Misi Penghantaran Barang Keperluan Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan Peringkat Daerah Kuantan yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif di Dewan Seri Inderapura, di sini kelmarin.
Sehubungan itu, Zahidi menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya sentiasa berwaspada serta mengikuti perkembangan cuaca semasa.
Beliau turut mengingatkan penduduk supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah segera sekiranya diarahkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pekan, Kapten (PA) Ahmad Azmi Nafiah berkata, seramai 150 anggota APM Pekan turut bersedia untuk digerakkan sepanjang musim tengkujuh kali ini, selain dilengkapi kemudahan logistik dan aset berkaitan.
Menurutnya, anggota APM Pekan juga bersedia membantu operasi menyelamat mangsa banjir di daerah lain menerusi kerjasama antara daerah yang dilaksanakan setiap tahun.
“Banjir di daerah Pekan kebiasaannya berlaku selepas daerah lain selesai dilanda banjir, manakala kejadian banjir termenung juga bukan sesuatu yang asing di beberapa kawasan,” katanya.
IMedikelTV






