Home Buletin Semasa QFEST 2026 HIMPUN 119 PESERTA, 16 INSTITUSI PENDIDIKAN

QFEST 2026 HIMPUN 119 PESERTA, 16 INSTITUSI PENDIDIKAN

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Seramai 119 peserta daripada 16 institusi pendidikan menyertai Festival Al-Quran UCYP University (QFest) 2026 yang berlangsung selama dua hari di Auditorium UCYP University, di sini, kelmarin.

Festival anjuran Fakulti Sains al-Quran UCYP University itu menampilkan pelbagai pertandingan dan aktiviti berteraskan al-Quran bagi menyemarakkan kecintaan terhadap kitab suci berkenaan serta memperkukuh penghayatan nilai Islam dalam kalangan peserta.

Timbalan Naib Canselor (Akademik) UCYP University, Profesor Madya Dr Mohd Hamisa Abdul Hamid berkata, penganjuran QFest 2026 menjadi platform untuk mencungkil bakat, mengembangkan potensi peserta serta menggalakkan penghayatan dan pengamalan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, pihak universiti berharap festival berkenaan dapat terus menjadi wadah melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, selaras dengan nilai teras universiti iaitu Kreativiti, Kualiti dan Integriti.

“Semoga penganjuran QFest 2026 dapat menjadi platform yang menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran, selaras dengan komitmen UCYP University dalam memperkasa pendidikan dan penghayatan nilai Islam.

“Sambutan menggalakkan yang diterima terhadap program ini menjadi pencetus kepada UCYP University untuk menjadikannya sebagai acara tahunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup QFest 2026 yang berlangsung di Auditorium UCYP University, di sini, kelmarin.

Antara pengisian festival itu termasuk Quran Hour, kuliah Dhuha, Haflah al-Quran, persembahan nasyid, pertandingan hafazan, kuiz dini dan jawi serta pertandingan inovasi.

Program berkenaan turut menyediakan reruai pameran dan informasi bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai pelbagai aspek berkaitan al-Quran dan pendidikan Islam.

Majlis penutup turut diserikan dengan Haflah al-Quran yang menampilkan bacaan ayat suci al-Quran oleh tiga qari jemputan.

Mohd Hamisa turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang selain menzahirkan penghargaan kepada peserta, penaja dan semua pihak yang memberikan sokongan dalam menjayakan QFest 2026.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here