Home Buletin Semasa PGA RAMPAS 49 TAN DAGING BABI, AYAM SEJUK BEKU BERNILAI RM2.5 JUTA

PGA RAMPAS 49 TAN DAGING BABI, AYAM SEJUK BEKU BERNILAI RM2.5 JUTA

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KULAI: Kegiatan sebuah gudang haram yang dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan makanan sejuk beku secara tersembunyi sejak kira-kira dua tahun lalu terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.

Serbuan menerusi Op Salju Mega kira-kira jam 7 pagi di sebuah premis di Jalan Perak, Kawasan Perindustrian Sri Kulai itu membawa kepada rampasan lebih 49,000 kilogram (kg) daging babi dan ayam sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

Komander Briged Tengah PGA, SAC Awang Arfian Awang Bujang berkata, serbuan itu turut membawa kepada penahanan sembilan individu termasuk majikan lelaki warga tempatan berusia 30 tahun.

“Pasukan operasi merampas 42,530 kg daging babi sejuk beku dan 6,528 kg daging ayam sejuk beku.

“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan makanan sejuk beku tanpa sebarang lesen untuk menjalankan aktiviti pemprosesan.

“Pemeriksaan turut mendapati tahap kebersihan premis tidak memenuhi piawaian ditetapkan, selain penyimpanan daging babi dan ayam dilakukan di kawasan yang sama.

“Bekalan daging berkenaan diperoleh daripada pembekal Thailand, China dan Brazil yang mempunyai permit, diproses secara tidak sah, sebelum dipasarkan kepada kedai bukan makanan Islam di sekitar daerah itu,” katanya pada sidang media selepas serbuan di Gudang Sejuk Beku di Kawasan Perindustrian Sri Kulai di sini, hari ini.

Menurut Awang Arfian, dalam serbuan itu sembilan individu ditahan termasuk lapan pekerja warga Myanmar berumur antara 30 hingga 38 tahun, kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah semasa pemeriksaan.

Katanya turut dirampas dua buah lori, sebuah kereta, sebuah jentera pengangkat elektrik serta perlbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan memotong makanan sejuk beku di premis tersebut.

“Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Pejabat Kesihatan Daerah Kulai dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Makanan 1983 serta undang-undang kecil berkaitan pelesenan tred, perniagaan dan perindustrian,”katanya

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here