Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mempergiat operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan terhadap aspek keadaan tayar.
Menerusi Ops Patuh di daerah ini kelmarin mengesan kenderaan perdagangan membawa muatan besi yang gagal menyelenggara tayar dan kenderaan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, kegagalan menyelenggara tayar bukan sahaja kesalahan teknikal tetapi penting boleh membawa kesan besar terhadap keselamatan awam.
Katanya, kecuaian pengusaha atau pemandu boleh mengundang kesulitan dan mengancam nyawa ramai pengguna jalan raya terutama apabila berlaku kemalangan yang disebabkan tayar meletup dan tercabut.
“Pemeriksaan turut mengesan kesalahan lebihan muatan sebanyak 34.08 peratus bersamaan 17,720 kilogram (kg) selepas penimbangan dilakukan di Stesen Penguatkuasa Paloh Hinai, Pekan.
“Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap kesalahan yang dikesan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, jabatan mengingatkan kepada pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa memberi perhatian terhadap aspek penyelenggaraan tayar bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, pemeriksaan berkala perlu dilaksanakan bagi memastikan tayar sentiasa berada dalam keadaan selamat sebelum kenderaan digunakan di jalan raya.
Katanya, sempena Ops Patuh Deepavali 2026 pihaknya turut melakukan operasi kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan, lori semen debu dikesan membawa muatan hampir 10 tan.
“JPJ Negeri Pahang akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus bagi memastikan setiap kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.
“Kita tidak akan berkompromi, tindakan tegas menanti pihak yang terbukti melakukan kesalahan,” katanya.
IMedikel TV






