Home Buletin Semasa 152 AHLI AKADEMIK LIMA NEGARA SERTAI DUA PERSIDANGAN ANTARABANGSA

152 AHLI AKADEMIK LIMA NEGARA SERTAI DUA PERSIDANGAN ANTARABANGSA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Seramai 152 ahli akademik serta penyelidik dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Thailand dan Taiwan menyertai dua persidangan antarabangsa di Kampus Utama UCYP University, di sini kelmarin.

Persidangan dua hari itu anjuran UCYP University ialah International Conference on Education (ICEd 2026) Ke-4 dan International Conference on Language and Education (ICLE ‘26) Ke-11.

Program kerjasama Association of Language Teachers in Southeast Asia (ALTSA) dan Gifted and Talented Education Association Malaysia (GTEA) dirasmikan Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn. Bhd, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Persidangan kali ini mengangkat tema “Beyond Automation: Critical Perspectives on Artificial Intelligence in Advancing Quality Education (SDG 4)” yang mengetengahkan peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam meningkatkan kualiti pendidikan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4.

Shahaniza berkata, sejak penganjuran kali pertama pada 2021 ICEd terus menjadi platform kepada ahli akademik dan penyelidik untuk berkongsi ilmu serta meneroka perkembangan dalam bidang pendidikan, kerjasama berterusan dengan ICLE turut memperkukuh platform ini melalui perkongsian pelbagai perspektif dan kepakaran akademik.

“Tema tahun ini menekankan kepentingan memanfaatkan teknologi AI secara bertanggungjawab bagi meningkatkan kualiti pendidikan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 yang menggalakkan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua.

“Pengisian lain termasuk bengkel berkaitan aplikasi AI dalam pendidikan, penyelidikan dan penerbitan, selain InnoLab – Innovation Competition & Exhibition yang menghimpunkan 31 peserta daripada pelbagai institusi menerusi dua kategori, iaitu Pengajaran dan Pembelajaran serta Inovasi untuk Masa Depan yang Lebih Baik,”katanya.

Persidangan kali ini turut menampilkan dua ucaptama yang disampaikan oleh Prof Dr Melor Md Yunus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Dr David Foo Chin Toong dari AI Academy, Orbix International School yang berkongsi perspektif serta pandangan mengenai peranan AI dalam bidang pendidikan.

Rata-rata peserta yang menyertai persidangan berkenaan berpuas hati dengan pengisian yang disediakan penganjur sepanjang program.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here