Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Produk Gardenia yang mencetuskan kebimbangan pengguna baru-baru ini disahkan mematuhi spesifikasi keselamatan makanan selepas menjalani ujian di makmal bebas bertauliah.
Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan, keputusan ujian mengesahkan produk terbabit memenuhi spesifikasi keselamatan makanan ditetapkan serta keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan.
“Pada Selasa lalu, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan turut mengadakan lawatan pemeriksaan ke fasiliti pengeluaran Gardenia sebagai sebahagian daripada siasatan yang dijalankan,” menurut Gardenia.
Gardenia memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pemeriksaan berkenaan, manakala KKM berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) serta amalan keselamatan makanan yang dilaksanakan syarikat itu.
Dalam pada itu, Gardenia menegaskan keselamatan makanan, kualiti produk dan kesejahteraan pengguna sentiasa menjadi keutamaan tertinggi syarikat.
Syarikat berkenaan turut menghargai kesabaran, pemahaman serta kepercayaan berterusan pengguna, rakan niaga dan pihak berkuasa berkaitan.
IMedikel TV






