Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Bukan sahaja daif, malah segelintir pengusaha van persendirian tanpa permit mengaut keuntungan mencecah RM1000 sebulan dengan mengendalikan perkhidmatan van sekolah secara haram.
Tanpa mengutamakan keselamatan murid sekolah, mereka mengaut keuntungan dengan membahayakan keselamatan apabila terdapat pengusaha van tersebut membawa pelajar secara berhimpit-himpit sehingga melebihi kapasiti yang dibenarkan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata terdapat van yang usianya melebihi 20 tahun, namun masih beroperasi di jalan.
“Kita dapati ada usia van yang melebihi 20 tahun, memang daif. Mereka membawa murid sekolah rendah dan menengah dalam keadaan berhimpit. Sebuah van boleh mencecah 15 orang.
“Di Kelantan terdapat lebih kurang 1000 van persendirian yang dijadikan van sekolah secara haram,” katanya pada sidang media Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) dan Ops Patuh sempena Deepavali 2026 di sini pada Selasa.
Beliau berkata permit untuk kenderaan perkhidmatan awam adalah usia kenderaan berkenaan kurang dari 10 tahun, jika melebihi usia secara automatik tidak layak.
Beliau berkata pihaknya mengesan pemandu tersebut berusia antara 30 hingga 60 tahun dan difahamkan kegiatan tersebut bermula selepas Covid-19.
Mohd Misuari berkata, kegiatan itu dikesan hasil risikan selama tiga bulan sebelum JPJ melaksanakan Ops KPPA di sekitar Kota Bharu pada 5 November lalu.
Menurut beliau, kegiatan itu membabitkan pemandu berusia antara 30 hingga 60 tahun yang membawa murid sekolah rendah dan menengah mengikut laluan masing-masing.
“Mereka dipercayai mampu melakukan antara empat hingga lima perjalanan sehari untuk mengambil dan menghantar murid sekolah terbabit,” katanya.
IMedikel TV






