Oleh: Afrizam Arif @ I Medikel TV
SELANGOR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan terus memperluaskan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk sektor swasta bagi memastikan program pembangunan masyarakat yang dilaksanakan memberi impak berkesan kepada rakyat.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, penganjuran Festival Masyarakat 2026 (FESMA 2026) berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap fungsi sebenar KEMAS yang melangkaui peranan sebagai penyedia pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima menerusi FESMA 2025 dan FESMA 2026, masyarakat kini lebih memahami bahawa KEMAS turut menawarkan program pembangunan kemahiran, keusahawanan, kekeluargaan dan komuniti.
“Kalau sebelum ini orang melihat KEMAS hanya TABIKA dan TASKA, kini mereka mula memahami bahawa KEMAS juga berperanan sebagai arkitek kemajuan masyarakat yang melibatkan pelbagai lapisan komuniti,” katanya kepada I Medikel TV selepas majlis penutupan FESMA 2026 di Universiti Islam Selangor (UIS), di sini.
Menurutnya, KEMAS memberi tumpuan kepada pendekatan skill for income iaitu pembangunan kemahiran yang mampu menjana pendapatan melalui ekosistem latihan dan peluang perniagaan yang diwujudkan kepada peserta.
Beliau berkata, pelatih yang mengikuti kursus kemahiran berpeluang memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dalam rangkaian KEMAS termasuk membekalkan produk makanan dan keperluan institusi di bawah agensi itu.
Mohd Hanafiah berkata, kejayaan pelaksanaan program KEMAS turut bergantung kepada sokongan rakan strategik termasuk institusi pendidikan, kementerian, organisasi bukan kerajaan dan syarikat swasta yang membantu memperluaskan manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada I Medikel Pharma Holdings atas kerjasama dalam menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pemberian vitamin kepada kanak-kanak serta usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan kesihatan dan pemakanan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi I Medikel Pharma Holdings, Hasnah Zakaria berkata syarikat itu komited menyokong usaha pembangunan komuniti yang dilaksanakan KEMAS termasuk melalui platform digital yang dapat memperluaskan capaian maklumat kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama antara I Medikel dan KEMAS akan terus diperkukuhkan bagi menyokong pembangunan masyarakat melalui program kesihatan, pendidikan dan penyebaran maklumat secara digital, sekali gus memberi manfaat lebih luas kepada komuniti di seluruh negara.
IMedikelTV






